PETALING JAYA: Tindakan seorang lelaki yang disyaki mencabul seorang wanita di tempat letak kereta dalam sebuah bangunan komersial di Kota Damansara, Petaling Jaya dekat sini mengundang padah suspek kini menjadi buruan polis.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.30 pagi itu, mangsa yang juga seorang wanita tempatan berusia 21 tahun sedang berada di luar kenderaannya sebelum ditolak daripada belakang oleh seorang lelaki tidak dikenali.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, mangsa kemudian terjatuh terlentang di dalam kereta sebelum suspek kemudian menindih dan meraba tubuhnya selain cuba membuka pakaian wanita itu.
“Mangsa cuba melepaskan diri dengan meronta-ronta dan menjerit menyebabkan suspek bertindak menumbuk muka mangsa berkali-kali.
“Bagaimanapun, tindakan mangsa menekan hon kereta menyelamatkan dirinya apabila suspek melarikan diri,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambah Mohamad Fakhrudin, mangsa mengalami kecederaan bengkak serta lebam pada muka dan membuat laporan polis kira-kira pukul 1 tengah hari, kelmarin.
“Hasil siasatan mendapati sebelum kejadian mangsa ada berselisih dengan suspek ketika berjalan ke arah keretanya.
“Fotofit suspek berjaya dihasilkan dengan bantuan mangsa dan suspek dipercayai seorang lelaki tempatan berasal daripada Sabah, berusia lingkungan 25 tahun dengan ketinggian kira-kira 165 sentimeter,” katanya.
Tambah beliau, suspek juga digambarkan berbadan kurus dengan tatu penuh di lengan kanan, berambut pendek, kening sederhana serta berbibir tebal.
“Kita minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu atau maklumat berkenaan suspek untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Chew Yong Hoa di talian 014-3929448.
“Siasatan kes ini dijalankan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan serta Seksyen 323 Kanun Keseksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE