Polis bongkar pesta minuman keras, 52 suspek ditahan - Utusan Malaysia

Polis bongkar pesta minuman keras, 52 suspek ditahan

TOK BENG YEOW
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULAI: Muzik kuat dan lampu kelip-kelip membantu polis membongkar parti minuman keras di sebuah premis di Jalan Cyber 16, Kawasan Perindustrian Senai Fasa 3, di sini, tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, serbuan terhadap premis berkenaan dibuat sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Polis Lapangan Terbang Senai, pada pukul 12.01 tengah malam.

Katanya, serbuan mendapati seorang lelaki tempatan sedang berada di kaunter dan seramai 51 pelanggan termasuk 47 warga asing dalam premis berkenaan.

“Ketika serbuan dibuat, kesemua mereka sedang meminum minuman keras tanpa mengamalkan penjarakan fizikal.

“Kesemua suspek berusia antara 20 hingga 46 tahun dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai untuk tindakan lanjut,” katanya di sini hari ini.

Seramai 47 warga asing yang ditahan terdiri daripada 29 lelaki dan lapan wanita Indonesia, lima lelaki India, dua lelaki Pakistan, dua lelaki Myanmar dan seorang lelaki Bangladesh.

Menurut Beng Yeow, dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah televisyen, sebuah pembesar suara, dua mikrofon, sebuah modem dan buku catatan hutang pelanggan.

“Kesemua suspek yang ditahan kini dikenakan perintah reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan yang dijalankan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 269 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan Negeri Johor, Seksyen 55B dan 6(1)(c) Akta Imigresen dan Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Peraturan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Tempatan yang Dijangkiti) 2021,” ujarnya.

Sementara itu, Beng Yeow turut meminta semua pihak agar mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan dalam tempoh perintah kawalan pergerakan ini.

“Orang ramai juga diminta menyalurkan sebarang aduan dan maklumat kepada pihak polis berhubung sebarang salah laku di kawasan mereka,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya