PKRC Gelanggang Seni dilengkapi kemudahan katil klinikal - Utusan Malaysia

PKRC Gelanggang Seni dilengkapi kemudahan katil klinikal

DR. MOHD.. Azman Yusof (kanan) memberi taklimat kepada petugas di PKRC Gelanggang Seni, Kota Bharu, Kelantan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) kelapan di Kelantan yang terletak di Gelanggang Seni, di sini turut dilengkapi katil klinikal serta kelengkapan rawatan khas lain dan dijangka dibuka Isnin ini.

Pengarah PKRC negeri, Dr. Mohd. Azman Yusof berkata, pusat kuarantin khusus untuk warga emas itu boleh menempatkan seramai 30 pesakit di atas katil klinikal yang dilengkapi mesin pemantauan jantung, bekalan oksigen mudah alih dan alat sokongan lain.

Katanya, selain itu sebanyak 50 katil dua tingkat disediakan untuk pesakit wanita di dalam PKRC terbabit yang mampu menampung seramai 100 pesakit dalam satu-satu masa.

“PKRC ini adalah satu pusat kuarantin khas di Kelantan kerana perkhidmatan yang disediakan adalah memberi bantuan awal kepada pesakit yang memerlukan rawatan.

“Sebelum ini pernah ada kes kita tidak dapat berikan rawatan awal kerana hospital penuh. Selepas ini pesakit warga emas ditempatkan di sini agar mudah menerima rawatan,” katanya selepas meninjau PKRC Gelanggang Seni, di sini hari ini.

Menurut Dr. Mohd. Azman, lokasi PKRC itu yang berdekatan dengan Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini iaitu hanya 1.5 kilometer memudahkan urusan pemindahan pesakit yang memerlukan rawatan rapi.

Katanya, PKRC Gelanggang Seni juga berupaya menjimatkan masa terutama dalam aspek pengurusan dan proses bantuan awal ke HRPZ II.

“Kita harapkan pembukaan PKRC ini dapat membantu dalam memberi rawatan segera kepada pesakit warga emas yang berisiko mendapat komplikasi awal Covid-19.

“Selain itu juga, kita mengharapkan kerajaan negeri dapat membantu mempercepat perolehan katil klinikal kerana ia melibatkan kos kira-kira RM3,000 hingga RM4,000 untuk satu unit,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN