PKP penuh: 3,500 peniaga Selangor rugi - Utusan Malaysia

PKP penuh: 3,500 peniaga Selangor rugi

MOHAMMAD KAMAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kira-kira 3,500 peniaga mengalami kerugian berterusan sekiranya kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh sekali lagi di Selangor.

Yang Dipertua Persatuan Peniaga Pasar Malam Bumiputera Petaling Jaya (PPPMBPJ), Kamal Ahmad Abdullah berkata, ada peniaga yang terpaksa menanggung kerugian RM5,000 atau lebih  berdasarkan jenis perniagaan diusahakannya. 

“Kita tidak menolak sekiranya PKP menyeluruh dilaksanakan tetapi kerajaan seharusnya memikirkan keberkesanannya. Jika dilaksanakan, kita menganggarkan kira-kira 3,500 peniaga pasar malam bumiputera di sekitar Petaling Jaya yang akan terkesan.

“Saya harap Pusat mendengar rintihan peniaga dan penjaja sebelum melaksanakan PKP menyeluruh,” kata beliau ketika dihubungi Utusan Malaysia baru-baru ini.

Terdahulu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mencadangkan PKP penuh dilaksanakan di Selangor susulan peningkatan jumlah Covid-19.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP tersebut akan membolehkan pegawai kesihatan melaksanakan ujian saringan, pengasingan dan rawatan kepada individu yang dijangkiti virus tersebut dengan rapi. 

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Usahawan Melayu Selangor (PPUMS), Mohammad Kamal Mohd. Khalid berkata, kebanyakan peniaga akan kehilangan pendapatan berterusan sekiranya Pusat meneruskan tindakan tersebut. 

Mohammad Kamal Mohd. Khalid

Jelasnya, mereka menjalankan perniagaan secara harian dan ini boleh menyebabkan mereka tiada duit untuk membeli makanan kepada keluarga. 

“Pada PKP 1.0, ramai peniaga yang gulung tikar kerana terpaksa menanggung kos perniagaan walaupun mereka tidak berniaga. 

“Jika PKP dilaksanakan sekali lagi di Selangor, saya takut lebih ramai peniaga yang akan gulung tikar. Namun, jika tetap dilaksanakan, saya mencadangkan Pusat dan negeri memperkenalkan bantuan seperti yang diperkenalkan dalam PKP sebelum ini. 

“Pusat perlu menambah peruntukan Geran Khas Prihatin (GKP) dalam Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (PERMAI) supaya lebih ramai peniaga boleh mendapatkan geran berkenaan manakala kerajaan Selangor pula boleh memberi bantuan secara one-off dan pengecualian sewa premis,” ujarnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya