PETALING JAYA: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 di seluruh negara bermula esok dijangka tidak mengganggu pertumbuhan ekonomi negara.
Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd. Yunus berkata, ia berikutan keputusan kerajaan untuk terus membuka semua sektor ekonomi sepanjang PKP 3.0 seperti yang dilakukan untuk PKP 2.0.
Kata beliau, langkah itu ternyata berkesan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mencatatkan penyusutan yang lebih kecil pada 0.5 peratus untuk suku pertama 2021, tempoh yang turut melibatkan pelaksanaan PKP 2.0.
“Walaupun dengan pelaksanaan PKP 2.0, pertumbuhan KDNK untuk suku pertama 2021 adalah lebih baik daripada jangkaan. Satu perbezaan penting antara PKP 2.0 dengan PKP 1.0 adalah semua sektor ekonomi dibenarkan untuk beroperasi.
“Sama juga, dengan kebanyakan sektor ekonomi terus dibuka untuk PKP 3.0, kami tidak menjangkakan ia secara signifikan memberi impak kepada trajektori pertumbuhan keseluruhan sehingga kepada tahap suku kedua tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar pengumuman KDNK suku pertama 2021 bersama Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin yang diadakan secara maya hari ini.
Sehubungan itu, menurut Nor Shamsiah, BNM mengekalkan unjuran enam hingga 7.5 peratus pertumbuhan ekonomi negara tahun ini.
Jelas beliau, unjuran tersebut telah mengambil kira ketidaktentuan pandemik dan kemungkinan berlakunya gelombang jangkitan Covid-19 dalam negara.
“Ketidaktentuan itu dapat dilihat pada julat unjuran yang besar oleh BNM, sehingga 150 mata asas.
“Malah, andaian di sebalik unjuran itu juga konservatif dari segi kami meramalkan tidak akan ada pergerakan rentas negeri sehingga hujung tahun ini dan sempadan antarabangsa kita terus ditutup untuk pelancongan sepanjang 2021,” katanya. – UTUSAN