PUTRAJAYA: Selangor terus merekodkan kes positif baharu Covid-19 tertinggi iaitu 2,252 kes dengan mangsa maut 19 orang.
Jumlah direkodkan Selangor turut menjadi penyumbang terbesar kes positif negara iaitu 6,075 kes sekali gus mengatasi rekod tertinggi yang dicatatkan pada 31 Januari lalu iaitu 5,728 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, rekod Malaysia kali ini adalah tertinggi pernah dilaporkan sejak pandemik Covid-19 melanda negara manakala kes sembuh pula, 3,516 kes manakala kes aktif terus menunjukkan peningkatan iaitu 47,430 kes.
Menurut beliau, sebanyak 559 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 303 kes memerlukan bantuan pernafasan.
“Selain Selangor, majoriti negeri merekodkan kes tiga angka ialah Johor, 699 kes; Kuala Lumpur, 660 kes; Kedah, 445 kes; Kelantan, 441 kes; Sarawak, 323 kes; Perak, 220; Terengganu, 203 kes; Negeri Sembilan, 189 kes; Pulau Pinang, 183 kes; Sabah, 160 kes; Pahang, 150 kes dan Melaka, 122 kes.
“Labuan merekodkan 14 kes manakala Putrajaya, sembilan kes dan Perlis, enam kes,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas mengenai 46 kematian, beliau berkata, Selangor merekodkan kes kematian 19 kes diikuti tujuh kes di Sarawak, enam kes di Johor, empat kes di Kelantan, masing-masing dua kes di Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, dan Kedah serta Negeri Sembilan dan Melaka, masing-masing satu kes.
Katanya, seramai 26 lelaki dan 20 wanita termasuk satu warga asing berusia antara 17 hingga 91 tahun dengan pelbagai latar belakang penyakit.
“Seramai 32 kes melibatkan warga emas manakala pesakit meninggal di kediaman masing-masing, seramai lima orang.
“Antara penyakit yang dikesan iaitu kencing manis, darah tinggi, buah pinggang kronik, jantung, Fibrosis pulmonari, parkinson, glaukoma, dislipidemia, leukemia, obesiti, strok, kanser, paru-paru obstruktif kronik, asma dan gout,” katanya.
Bagi 22 kluster baharu yang direkodkan, Dr. Noor Hisham berkata, lapan kluster melibatkan tempat kerja, tujuh kluster komuniti, enam kluster keagamaan dan satu kluster pendidikan.
Lapan kluster tempat kerja katanya, Kluster Industri Bukit Raja di Klang, Selangor, 21 kes; Kluster Jalan 223 PJ di Petaling, Selangor, 16 kes; Kluster Jalan Endap Sawit melibatkan Samarahan, Serian, dan Kuching, Sarawak, 29 kes dan Kluster Jalan Tanjung Kupang di Johor Bahru, Johor, 199 kes.
“Empat lagi, Kluster Jalan Tuan Hitam di Besut, Terengganu, 38 kes; Kluster Paya Rumput Utama di Melaka Tengah, Melaka, 11 kes; Kluster Victoria Merdeka di Labuan, 16 kes dan Kluster Jalan Kampung Bakau di Kangar, Perlis, tujuh kes.
“Tujuh Kluster komuniti pula, Kluster Stunggang di Lundu, Sarawak, sembilan kes; Kluster Kampung Tanjong Jejulok di Pasir Mas, Kelantan, 15 kes; Kluster Kampung Limau di Lembah Pantau, Kuala Lumpur, 27 kes; Kluster Pagar Sungai Imam di Tawau, Sabah, 27 kes; Kluster Muhibbah Dua di Lahad Datu, Sabah, 14 kes; Kluster Kolopis di Penampang, Sabah, 13 kes dan Kluster Jalan Inang di Melaka Tengah, Melaka, 10 kes,” katanya. – UTUSAN