Peperiksaan bukan penentu kejayaan pelajar - Utusan Malaysia

Peperiksaan bukan penentu kejayaan pelajar

Langkah Kementerian Pendidikan menetapkan markah Ujian Akhir Sesi Akademik (UASA) dalam peratusan lebih memudahkan golongan ibu bapa memahami tahap pendidikan anak-anak mereka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Keputusan memansuhkan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) membolehkan Kementerian Pendidikan merangka pentaksiran baharu yang lebih hoslistik dan memenuhi aspirasi falsafan pendidikan negara.

Sehubungan itu, penjelasan menyeluruh perlu diberikan kepada semua pemegang taruh bagi mengelak sebarang kekeliruan hasrat murni kementerian tersebut.

Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (i-Guru), Mohd. Azizee Hassan berkata, langkah tersebut penting supaya ibu bapa dan guru memahami dengan jelas tujuan keputusan tersebut diambil.

“Pemansuhan UPSR mengesahkan keputusan sebelum ini untuk menukarkan UPSR kepada bentuk pentaksiran baharu yang lebih holistik serta memenuhi aspirasi falsafah pendidikan
kebangsaan.

“Langkah ini perlu disambut positif semua pihak dan melihat kerangka pendidikan maju ke hadapan. Ia juga membolehkan kerangka fikir para guru terhadap murid lebih universal dan melihat setiap murid ada potensi dan bakat yang boleh dikembangkan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Beliau mengulas keputusan kerajaan memansuhkan UPSR mulai tahun ini manakala Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dibatalkan untuk tahun ini.

Bagi Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Aminuddin Awang pula, NUTP sudah lama memperjuangkan sistem bukan berorientasikan peperiksaan
kerana peperiksaan bukanlah penentu kepada kejayaan pelajar.

Katanya, dengan pemansuhan itu, ia bakal menjadikan sistem persekolahan akan berasaskan penilaian menyeluruh setiap pelajar.

Presiden Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof. Madya Datuk Mohamad Ali Hasan pula berkata, semua pihak perlu terbuka menerima perubahan dalam setiap dasar pendidikan yang ditetapkan termasuklah keputusan kerajaan memansuhkan UPSR dan membatalkan peperiksaan PT3.

Katanya, pelajar sekolah tidak harus tertumpu kepada sistem berasaskan peperiksaan sematamata sebaliknya penekanan terhadap pentaksiran di sekolah di samping menerapkan ilmu kemahiran berfikir aras tinggi, aspek psikometrik dan penyampaian komunikasi berkesan.

“Ibu bapa perlu berani untuk berdepan sebarang perubahan dalam dasar pendidikan anak-anak mereka. Ia berlaku disebabkan keperluan. Jika lihat di sekolah di negara Barat, mereka begitu petah berkomunikasi berdasarkan fakta dan data sejak awal lagi sebaliknya kita masih malu-malu,” katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Pusat Tuisyen Idea Unggul, Mohd. Fauzi Bidin berkata, pemansuhan UPSR tidak bermakna murid terlibat diabaikan dalam mendapat pendidikan terbaik.

Beliau berkata, ibu bapa juga tidak perlu risau kerana pusat-pusat tuisyen juga masih menawarkan kelas tambahan untuk anak-anak mereka meningkatkan lagi pemahaman dalam sesuatu mata pelajaran.

“Alhamdulillah, kebanyakan ibu bapa dan murid di pusat tuisyen pentingkan ilmu pengetahuan. Oleh itu, jadi ada atau tidak, mereka memang hantar anak untuk persediaan sama ada memasuki tingkatan 1 atau tingkatan 4.

“Bagaimanapun, ada juga ibu bapa yang hantar pusat tuisyen semata-mata sebab anak-anak ada peperiksaan, jadi apabila rasa tiada peperiksaan maka tidak perlu dibantu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Mohd. Fauzi berkata, walaupun pemansuhan sudah diumumkan beberapa hari lalu, masih ramai murid yang tidak menarik diri.

“Dahulu kami ada 1,000 murid yang mendaftar sebelum pandemik. Selepas pandemik, kita masih ada kira-kira 400 murid yang kita bantu. Ini termasuk 250 orang secara bersemuka, 180 orang secara atas talian dan mereka ini ada kesedaran belajar bukan sebab peperiksaan tetapi yang lagi 500 lebih orang itu hanya akan daftar kalau ada peperiksaan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Pengusaha Persatuan Pusat Tuisyen Muslim Malaysia (PPPTMM), Mohd. Noor Shafizal Termizi berkata, pihaknya sedang giat memberi khidmat nasihat kepada ahli-ahli persatuan cara menangani kesan pemansuhan UPSR dan pembatalan PT3.

Katanya, melalui perbincangan dalam persatuan, pihaknya menggalakkan pengusaha pusat tuisyen memperbanyakkan kelas tambahan, bengkel dan seminar kepada para pelajar. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN