Penyakit luruhan daun, hasil getah makin kurang - Utusan Malaysia

Penyakit luruhan daun, hasil getah makin kurang

MOHD. Al-Amin Zainal (kiri), Mohd. Johari Hussin (tengah) dan Mohd. Amin abu menunjukkan daun rosak akibat penyakit luruhan daun pokok getah yang berlaku sejak 2019. -MINGGUAN/FOTO/NOR AINNA HAMZAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAMPIN: Golongan peneroka di Felda Jelai 4, di sini, kini bimbang dengan hasil getah yang semakin berkurangan ekoran penyakit luruhan daun pokok getah yang berlaku sejak dua tahun lalu.

Seorang daripada mereka, Mohd. Amin Abu, 70, berkata, sejak 2014, dia mampu mendapat hasil yang baik menerusi tanaman 2,000 pokok getah di tanah miliknya namun hasil getah semakin berkurangan dua tahun kebelakangan ini.

“Saya pernah mengeluarkan hasil getah sebanyak 1,800 kilogram dalam masa sebulan namun disebabkan penyakit ini, getah yang boleh dinikmati hasilnya hanyalah sekitar 900 kilogram.

“Penyakit ini menyebabkan daun pokok getah gugur atau luruh. Semasa proses daun tumbuh, getah yang ditoreh kurang mengeluarkan hasil atau tidak keluar langsung,” katanya ketika ditemui Mingguan Malaysia di sini, semalam.

Seorang anak peneroka, Mohd. Al-Amin Zainal, 41, pula berkata, masalah berkenaan sudah diketahui pengurusan Felda dan berharap dapat diambil perhatian serta tindakan segera.

Menurutnya, jika tiada tindakan diambil bagi merawat penyakit tersebut, generasi kedua sepertinya berdepan dengan masalah kewangan.

“Saya menguruskan kebun getah arwah bapa dan bergantung sepenuhnya kepada hasil getah bagi menanggung keluarga serta menjaga ibu yang sudah berusia.

“Jika hasil getah tidak berkurangan tak jadi masalah tetapi kini bagi mendapat hasil setengah cawan plastik seberat 500 gram pun terpaksa menunggu masa hampir enam hari,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Pusat Mengumpul Getah (PMG) Felda Jelai 4, Mohd. Johari Hussin, 68, berkata, seramai 479 peneroka di Felda berkenaan bergantung sepenuhnya kepada hasil getah di atas tanah seluas empat hektar.

Menurutnya, ada kebun yang tidak dapat mengeluarkan sebarang hasil susulan masalah peneroka uzur serta tiada pekerja yang diupah untuk menguruskan kebun berkenaan.

“Apa yang kami bimbang sekarang adalah serangan penyakit luruhan daun yang menyebabkan hasil getah berkurangan. Kebun ini mula mengeluarkan hasil pada tahun 2014, pengeluaran hasil pernah mencecah lebih 500 tan metrik sebulan pada tahun 2018, namun kini tidak sampai 200 tan sebulan hasil yang direkodkan.

“Langkah mengatasi masalah ini perlu diambil segera memandangkan kami bimbang pokok getah ini yang sepatutnya mengeluarkan hasil sehingga berusia 20 tahun tidak memberi pulangan yang diharapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya