Penerima bantuan JKM meningkat cecah lebih 500,000 - Utusan Malaysia

Penerima bantuan JKM meningkat cecah lebih 500,000

RINA Mohd. Harun (kiri) menyampaikan sumbangan duit raya kepada penerima makanan Bakul Permai di Kolej Kemahiran Tinggi Melaka, Paya Lebar, Melaka. - UTUSAN/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR GAJAH: Jumlah permohonan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dijangka terus meningkat susulan kemerosotan sumber kewangan dihadapi rakyat akibat pandemik Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun berkata, dalam tempoh suku pertama tahun ini, jumlah penerima bantuan JKM bertambah sebanyak 34,000 penama menjadikan jumlah terkini seramai 500,000 orang.

“Kita lihat akibat daripada pandemik Covid-19, permohonan-permohonan kepada JKM terus meningkat yang mana setakat ini kita sudah mempunyai lebih 500,000 penerima bantuan sejak Januari lalu.

“Sebelum ini kita mempunyai kira-kira 466,000 penerima JKM sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Penyampaian Makanan Bakul Permai kepada penerima JKM dan Pelancaran Sukarelawan Masjid Tanah (Smart) di Kolej Kemahiran Tinggi Melaka, Paya Lebar di sini, hari ini.

Yang hadir sama Timbalannya, Datuk Siti Zailah Mohd. Yusoff dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin.

Dalam perkembangan lain, Rina memberitahu, anak-anak yang tidak dapat pulang ke kampung halaman untuk menguruskan permohonan vaksin ibu bapa masing-masing diminta mendapatkan bantuan daripada Khidmat Bantuan di Rumah (Home Help Service).

“Kini sekurang-kurangnya seramai 10,000 penerima vaksin daripada golongan warga emas telah menerima suntikan pertama pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Kita mengambil maklum kesulitan yang dihadapi oleh anak-anak yang tidak dapat merentas negeri melihat keadaan ibu bapa yang telah berusia dan menguruskan permohonan vaksin mereka.

“Namun sekiranya ada yang memerlukan bantuan untuk pengurusan vaksin ini boleh berhubung dengan sukarelawan Khidmat Bantu di Rumah, mereka datang rumah ke rumah untuk memberikan pertolongan pendaftaran dan sebagainya,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN