Pencari buluh lemang raih RM2,000 sebulan - Utusan Malaysia

Pencari buluh lemang raih RM2,000 sebulan

SEORANG penduduk menyiapkan buluh lemang sebelum dibeli peraih di Kampung Tohor, Jelebu, Negeri Sembilan. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JELEBU: “Saya mampu mencari sebanyak 2,000 batang sehari dan kadangkala boleh mencecah 3,000 batang jika ada permintaan daripada peraih. Harga yang dijual paling murah adalah 50 sen bagi setiap sebatang buluh,” kata Tajudin Asak.

Tajudin 42, yang ditemui Utusan Malaysia di Perkampungan Orang Asli Kampung Tohor, di sini, semalam berkata, dia telah menerima tempahan untuk mendapatkan buluh dengan permintaan yang disifatkannya sebagai luar biasa sejak awal Ramadan.

Kataya, buluh lemang jenis buluh telur antara yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan peraih.

“Seawal pukul 7 pagi hingga 4 petang setiap hari saya keluar untuk mencari buluh lemang yang berkualiti. Saya akan pastikan menerima tempahan terlebih dahulu daripada peraih bagi mengelakkan buluh tersebut rosak dan menjadi kekuningan,” katanya.

Seorang lagi pencari buluh, Rashidah Angak, 39, pula berkata, walaupun kebanyakan pencari buluh lemang adalah lelaki namun dia tidak mempunyai masalah untuk melakukan tugasan itu demi mencari rezeki.

“Saya sudah biasa memotong buluh-buluh ini, jadi tiada masalah membantu keluarga. Saya belajar menggergaji buluh lemang ini melalui suami saya. Setiap kali bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri saya mampu memperoleh sebanyak RM1,200 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Chennah, Rosmadi Arif berkata, Kampung Chennah adalah pengeluar buluh lemang terbesar bagi daerah Jelebu.

“Bermula awal bulan Ramadan memang penduduk di sini tidak menang tangan menerima tempahan buluh lemang daripada peraih. Kebanyakan peraih membeli sebanyak 3,000 batang buluhlemang sehari, ada yang dijual di Pasar Chow Kit, Kuala Lumpur dan beberapa lokasi lain di seluruh negara.

“Sebelum ini, perkampungan orang Asli di sini memang menjadi ‘port’ peraih mendapatkan produk sayur kampung untuk dijual di bandar-bandar besar namun kedatangan Ramadan memberi pendapatan luar biasa kepada penduduk Orang Asli di sini. Setakat ini buluh lemang mencukupi untuk memenuhi permintaan,” katanya.

Menurutnya, terdapat empat perkampungan orang Asli yang menjadi tumpuan peraih mendapatkan buluh lemang iaitu di Kampung Tohor, Kampung Dusun Kubur, Kampung Jeram Lesong dan Kampung Bertam. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN