LUMUT: Lelaki yang melarikan kereta Perodua Bezza dan seorang kanak-kanak perempuan di dalamnya ketika ibunya keluar membeli barang di Seri Manjung, dekat sini, semalam direman selama empat hari.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, suspek yang berusia 24 tahun direman bermula hari ini sehingga Isnin depan.
“Suspek direman untuk disiasat mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu melakukan penculikan orang daripada penjagaan yang sah.
“Dia juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952, selepas ujian air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, seorang wanita berdepan detik mencemaskan apabila kereta miliknya bersama seorang anak perempuan yang ditinggalkan di depan premis perniagaan di Seri Manjung dilarikan seorang lelaki.
Dalam kejadian kira-kira pukul 11.30 pagi itu, wanita tersebut meninggalkan anak perempuannya berumur 12 tahun di dalam kereta dalam keadaan enjin dan pendingin hawa dihidupkan serta tidak berkunci, untuk membeli barang di kedai haiwan di kawasan Seri Manjung.
Suspek bagaimanapun berjaya diberkas oleh orang ramai yang melihat kejadian itu manakala kanak-kanak itu selamat dan tidak mengalami kecederaan. – UTUSAN