SEPANG: Seorang pemandu lori treler maut selepas kenderaan itu gagal dikawal sebelum merempuh lorong tol RFID di Plaza Tol Ayer Hitam menghala Bandar Saujana Putra dekat sini, awal pagi ini.
Dalam kejadian yang berlaku kira-kira pukul 6.45 pagi itu, mangsa, seorang lelaki berusia 55 tahun dan beralamat di Taman Tasik Sungai Chua, Bukit Angkat, Kajang meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang memandu lori jenis Hino dalam perjalanan dari arah Kajang menghala ke Port Klang.
“Sampai di lokasi, kenderaan terbabit hilang kawalan dan melanggar tol di lorong RFID iaitu lorong keenam dari kiri di tol tersebut.
“Akibat pelanggaran itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, mangsa dibawa ke Hospital Serdang dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan calitan Covid-19 diperoleh.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE