Pelita buluh masih jadi tarikan - Utusan Malaysia

Pelita buluh masih jadi tarikan

HANAFIZA HASNAN meletakkan pelita buluh di atas motosikal untuk dihantar kepada pelanggannya di Kampung Kechor, Jalan Kaki Bukit, Kangar, Perlis. -UTUSAN/NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR : Dalam suasana serba moden khususnya dengan kewujudan pelbagai jenis lampu elektronik berwarna-warni yang lazimnya dipasang di rumah-rumah sempena sambutan Aidilfitri, boleh membuatkan tradisi pelita raya semakin dilupakan.

Namun di negeri ini, tradisi memasang pelita raya di kawasan rumah bagi menyerikan sambutan Hari Raya Aidilfitri khususnya pada malam tujuh likur nampaknya terus kekal dan masih meriah.

Malah, pasangan suami isteri, Hanafiza Hasnan, 30, dan suaminya, Zainordin Nayan, 32, juga tidak menang tangan menghasilkan pelita buluh atau pelita panjut yang mendapat permintaan cukup tinggi sepanjang Ramadan ini.

Dianggarkan sepanjang Ramadan ini, Hanafiza mampu menjual pelita buluh itu kira-kira 3,000 batang dengan pendapatan boleh mencecah sehingga RM45,000 meskipun dalam suasana pandemik Covid-19 ketika ini.

Pelita panjut yang mempunyai dua ruas dan empat sumbu selain didatangkan sekali dengan kaki itu dijual pada harga RM15 setiap satu.

Ibu kepada tiga orang anak dari Kampung Kechor, Jalan Kaki Bukit di sini memberitahu,
dia dan suami mula menghasilkan pelita buluh tersebut sejak lima tahun lalu sekali gus mampu membantu mereka menambah pendapatan sepanjang bulan puasa.

Katanya, di peringkat awal, pelita tersebut hanya dihasilkan olehnya dan suami sebelum mengupah dua pekerja kerana tempahan semakin meningkat saban tahun.

“Dua pekerja membantu menebang buluh duri yang digunakan bagi menghasilkan pelita tradisi tersebut. Pada tahun pertama, kami hanya menghadkan tempahan sebanyak 500 pelita dan meningkatkan jumlah tempahan selepas itu dengan Ramadan kali ini sahaja sebanyak 3,000 pelita mampu terjual.

“Selain pelanggan dari negeri ini, kami juga menerima tempahan dari seluruh negeri termasuk Johor. Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selepas itu, kami menjual secara dalam talian dan penghantaran secara pos.

“Kita turut mendapat tempahan daripada hotel, sekolah dan pejabat untuk tujuan dekorasi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.

Menurut Hanafiza, bagi menghasilkan pelita tersebut, mereka memilih dan menebang sendiri buluh duri yang dibeli daripada pemilik pokok berkenaan di sekitar negeri ini.

Katanya, dalam sehari mereka mampu menyiapkan kira-kira 200 pelita yang boleh tahan antara empat sehingga lima tahun jika dijaga dengan baik.

“Buluh duri ini lebih tahan lama berbanding buluh biasa. Bagi memastikan pelita buluh ini tahan lebih lama, sebelum disimpan untuk tahun seterusnya, kita perlu mengasingkan sumbu daripada buluh dan kemudian disimpan di tempat yang kering,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya