Pelantikan Ketua Pengarah Jakoa ikut prosedur di bawah Akta 134 - Utusan Malaysia

Pelantikan Ketua Pengarah Jakoa ikut prosedur di bawah Akta 134

ABD. LATIF AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pelantikan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) masih dalam peringkat proses perbincangan dan penelitian di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

Menterinya, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, pencalonan jawatan itu dibuat mengikut prosedur yang ditetapkan di bawah kuasa Yang di-Pertuan Agongseperti yang termaktub dalam Seksyen 5, Akta Orang Asli 1954 (Akta 134).

Justeru, kata beliau, pihaknya menafikan dakwaan Ahli Parlimen Cameron Highland, Ramli Mohd. Nor bahawa bahawa terdapat gerakan dalam kalangan pegawai di kementerian untuk memastikan pelantikan Ketua Pengarah Jakoa yang baharu bukan dalam kalangan masyarakat Orang Asli bagi menggantikan Prof. Dr. Juli Edo yang bersara pada April lalu.

“Kementerian menafikan dakwaan mengenai gerakan tersebut dan ingin menjelaskan bahawa sedang mengenal pasti calon-calon bersesuaian untuk mengisi kekosongan jawatan Ketua Pengarah Jakoa yang ketika ini masih kosong.

“Oleh yang demikian, isu penjawat awam melantik pengganti Ketua Pengarah adalah tidak benar kerana setakat ini proses perbincangan dan penelitian masih berjalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Abd. Latiff berkata, masyarakat Orang Asli sentiasa menjadi pilihan utama untuk dicalonkan sebagai Ketua Pengarah selaras dengan Perlembagaan Persekutuan Perkara 8 (5)(C) untuk melantik masyarakat itu daripada jawatan-jawatan bersesuaian dalam perkhidmatan awam.

Beliau menjelaskan, pemilihan calon itu tidak dibuat secara rawak, tetapi berdasarkan kepakaran termasuk pengalaman yang luas dan mahir dalam aspek pentadbiran jabatan, pengurusan kewangan dan pengurusan projek pembangunan.

Katanya, ini termasuk soal sosioekonomi serta mempunyai jaringan kerjasama yang erat di antara jabatan di peringkat Persekutuan, negeri mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Kementerian mengucapkan terima kasih kepada semua agensi kerajaan, NGO serta individu yang prihatin dengan masyarakat Orang Asli.

“Pandangan dan bantuan yang disalurkan semua pihak dapat membantu kementerian dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab kepada masyarakat Orang Asli,” katanya.

Terdahulu, Ramli mendakwa, beliau menerima maklumat bahawa terdapat gerakan oleh para pegawai dalam Kementerian Pembangunan Luar Bandar mencatur dan berusaha agar jawatan tersebut tidak disandang oleh rakyat berketurunan Orang Asli Semenanjung.

Menurutnya, sebagai wakil rakyat tunggal berketurunan Orang Asli Semenanjung di Dewan Rakyat yang dilantik oleh suara rakyat selepas 64 tahun negara ini merdeka, beliau mengutuk dan menentang sama sekali usaha dan gerakan ‘Little Napolean’ birokrasi kerajaan dalam kementerian berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya