SHAH ALAM: Pengumuman kerajaan yang membenarkan pelajar pulang ke kampung bermula hari ini memberi kelegaan kepada mereka yang bersyukur dapat pulang menyambut Aidilfitri.
Pelajar tahun kedua Ijazah Sarjana Muda Sains Ukur Geometri Universiti Teknologi Mara (UiTM), Najihah Azizan, 22, berkata, pada awalnya, dia menyangka terpaksa beraya di perantauan buat pertama kali.
“Apabila kerajaan mengumumkan umumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya terbayang beraya seorang diri dan tidak dapat pulang ke kampung di Sungai Limau Yan, Kedah.
“Namun, apabila kebenaran diberikan, saya terus memaklumkan perkara ini kepada keluarga. Terima kasih UiTM kerana menyediakan kemudahan untuk kami semua pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui dalam Program Ops Pulang Aidilfitri di Dewan Agong Tuanku Canselor (DATC) UiTM hari ini.
Terdahulu, Pemangku Naib Canselor UiTM, Prof. Dr. Roziah Mohd. Janor dan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof. Dr. Mohd.Nazip Suratman hadir melihat pelajar yang dihantar pulang ke kampung bermula hari ini.
Kementerian Pendidikan Tinggi mengumumkan 70,000 pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) dihantar pulang ke kampung beraya bermula hari ini hingga 10 Mei ini.
Dalam pada itu, pelajar Ijazah Sarjana Muda Komunikasi Massa pengkhususan Kewartawanan, Nurul Alisya Aliah Abdul Jalil, 21, berkata, pulang ke kampung menaiki bas adalah pengalaman baharu baginya.
“Selama ini, apabila balik kampung, mesti ibu dan ayah datang menjemput saya di kampus. Namun, apabila PKP dan perlu menaiki bas ini adalah pengalaman yang tidak akan dilupakan.
“Malah, keluarga juga mengingatkan supaya jaga diri dan sentiasa amalkan penjarakan fizikal dan gunakan cecair pembasmi kuman,” katanya.
Sementara itu Roziah berkata, setiap pemandu bas yang terlibat untuk menghantar pelajar pulang ke kampung perlu menjalani ujian air kencing terlebih dahulu.
Jelasnya, ujian tersebut dibuat bagi memastikan kesemua 26 pemandu yang terlibat hari ini tidak mempunyai masalah kesihatan untuk memandu bagi perjalanan jarak jauh.
“Kesemua keputusan menunjukkan negatif dan setiap bas mempunyai dua pemandu dan pegawai pengiring.
“Pelajar-pelajar juga diperiksa suhu badan bagi memastikan mereka tidak demam dan selsema sebelum dibenarkan pulang. Pelajar dihantar pulang menaiki 13 bas ke Zon Utara, Zon Selatan dan Zon Timur,” katanya. – UTUSAN ONLINE