PEKAN: Bagi melepaskan rindu tidak pulang berhari raya bersama ibu bapa di kampung, penuntut Universiti Malaysia Pahang (UMP) di sini membuat panggilan video bersama ibu bapa tercinta.
Penuntut Fakulti Teknologi Kejuruteraan Pembuatan dan Mekatronik (FTKPM), Saiyidatul Marsyitah Aisyah Suhaime yang berasal dari Melaka berkata, dengan cara itu, dia dapat melepaskan rindunya kepada keluarga di kampung terutama pada Hari Raya Aidilfitri.
“Memang sedih tidak pulang berhari raya bersama keluarga tapi dengan wabak Covid-19 yang semakin meningkat ketika ini, saya merasakan lebih baik saya tinggal di kampus dan berhari raya di sini.
“Carilah setiap hikmah dalam apa yang berlaku kerana kegembiraan itu perlu dicari dan dicipta,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Saiyidatul Marsyitah Aisyah berkata, ibu bapanya yang juga petugas barisan hadapan juga terpaksa bekerja pada hari raya kerana kekurangan staf pada cuti umum.
Beliau dalam pada itu berkata, suasana kondusif di kampus dan kesibukan dalam menyiapkan tugasan menjelang peperiksaan pada bulan depan menyebabkan terdapat sebahagian pelajar kekal di universiti serta membuat keputusan beraya di kampus.
“Agak berisiko untuk balik memandangkan peperiksaan akhir kebanyakannya dijalankan secara bersemuka. Selain itu, saya masih mempunyai mempunyai rakan-rakan yang lain di kampus.
“Kami akan berkongsi kuih raya yang dihantar oleh ibu bapa kerana bagi saya ini merupakan satu pengalaman dan memori yang patut saya ada dalam kehidupan seorang pelajar,” katanya.
Pelajar Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Teh Darina Shahira Mohad Sekeri yang berasal dari Kuala Lumpur pula berkata, dalam suasana negara masih berdepan pandemik ketika ini, adalah lebih baik dia terus kekal di kampus dan beraya di sana.
Tambahan pula, katanya, Kuala Lumpur antara kawasan yang mencatatkan kes jangkitan tertinggi dan ia menyebabkan dia berisiko serta perlu menjalani isolasi apabila kembali ke kampus.
Dalam pada itu, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UMP menyambut baik keputusan Kementerian Pengajian Tinggi dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) memberi kebenaran untuk penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) yang berada di kampus untuk pulang menyambut cuti perayaan Aidilfitri pada tahun ini.
Yang di-Pertua MPP, Muhammad Hisyamuddin Abdul Aziz berkata, kira-kira 2,000 mengambil peluang itu mengikut tiga cara pergerakan iaitu dengan menaiki kenderaan persendirian, ibu bapa ambil dan kenderaan universiti. – UTUSAN