PBT diminta guna budi bicara - Sanusi - Utusan Malaysia

PBT diminta guna budi bicara – Sanusi

MUHAMMAD SANUSI MD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini diminta untuk memberi peluang kepada peniaga-peniaga bazar Ramadan di lima daerah yang terlibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), untuk meneruskan perniagaan mereka hingga Isnin ini.

Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, langkah itu bagi membolehkan para peniaga untuk setidak-tidaknya menghabiskan bahan mentah yang sudah dibeli sebelum bazar terlibat ditutup.

“Kita minta rakyat patuh dengan kehendak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam hal ini (menutup bazar Ramadan dan Aidilfitri). Cumanya, pelaksanaan penuh itu tidak dikuatkuasakan secara drastik.

“MKN membuat dasar tetapi yang melaksanakannya PBT. Jadi PBT boleh guna sedikit budi bicara untuk hari ini, esok dan lusa untuk peniaga menghabiskan barang yang memang sudah ada dalam simpanan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKP di lima daerah di negeri ini bermula hari ini hingga 14 Mei depan.

Lima daerah tersebut adalah Kota Setar, Kuala Muda, Bandar Baharu, Baling dan Kulim.

Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Kedah, Sarjakhan Abu Bakar berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada peniaga berhubung arahan penutupan bazar Ramadan dan Aidilfitri tersebut.

“Dalam menyediakan barangan untuk berniaga bagi tempoh sebulan, sudah tentu mereka ini mengeluarkan modal yang besar. Sudah tentu mereka meletakkan harapan besar untuk meraih keuntungan di bulan mulia ini.

“Tetapi semalam kerajaan mengumumkan bahawa PKP akan dilaksanakan hari ini hingga hari kedua sambutan Aidilfitri, ” katanya.

Sehubungan itu, katanya, kalangan peniaga memohon supaya kerajaan mempertimbangkan semula perkara itu dengan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) lebih ketat bagi setidak-tidaknya membolehkan mereka terus berniaga. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN