SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan mengarahkan kesemua pihak berkuasa tempatan (PBT) memeriksa dan memantau saluran longkang sedia ada bagi mengelak berlakunya kejadian tidak diingini ketika musim hujan lebat berulang.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pihaknya melihat perkara itu sebagai satu yang secara serius dan berharap kejadian seperti seorang kanak-kanak tergelincir dan dibawa arus deras semalam tidak berulang.
“Saya dimaklumkan longkang yang dipercayai kanak-kanak itu terjatuh semalam penutupnya sudah tiada di situ. Dikatakan kanak-kanak itu tergelincir dan terjatuh akibat hujan lebat namun mangsa belum dijumpai sehingga kini.
“Oleh itu, saya memohon kepada semua PBT untuk melihat saluran dan takungan sedia ada bagi mengelakkan kejadian kanak-kanak tergelincir di longkang seperti ini berulang,” katanya kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan operasi mencari Mohammad Syafiq Mustaqim Mohammad Fadly,8, di kolam takungan air, Taman Arowana Impian, Seremban 2 hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 4 petang itu, mangsa yang mesra dipanggil Aqim oleh ahli keluarganya tergelincir ketika bermain di longkang bersama abangnya berusia 10 tahun dan seorang rakan berusia 12 tahun di Flat Cempaka, Garden Avenue, Seremban 2.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa dikatakan tergelincir ketika bermain di longkang tersebut dan sewaktu kejadian, hujan agak lebat dan dipercayai mangsa dihanyutkan dalam air deras.
Sehingga kini, mangsa masih belum ditemukan selepas operasi mencari dilakukan sejak petang semalam. – UTUSAN ONLINE