Panjut gergasi meriahkan malam tujuh likur - Utusan Malaysia

Panjut gergasi meriahkan malam tujuh likur

PENGUNJUNG merakam gambar panjut gergasi yang dipasang membentuk replika Masjid Selat Melaka sempena sambutan Aidilfitri di Kampung Ribu Padang Rengas. - UTUSAN/ZULFACHRI ZULKIFLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG RENGAS: Kira-kira 2,000 pelita atau panjut dipasang membentuk replika Masjid Selat Melaka yang dibina di Kampung Ribu dekat sini, semalam.

Replikasi gergasi setinggi sembilan meter yang dibina menggunakan 200 batang buluh dan kayu itu bagi memeriahkan minggu terakhir Ramadan dan malam tujuh likur.

Pengerusi Persatuan Penggemar Panjut Kampung Ribu, Amiruddin Mohd. Lazim berkata, pemasangan pelita atau panjut itu adalah tradisi kampung tersebut setiap kali bulan Ramadan.

Katanya, kemeriahan menyambut Syawal dirasai apabila kawasan sekitar kampung diterangi cahaya lampu pelita yang turut mewujudkan suasana ceria.

“Tahun ini tiada pertandingan kerana kita perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 berbanding tahun lalu yang mana pertandingan diadakan di rumah masing-masing.

“Pada tahun ini, kita pasang panjut gergasi di kawasan lapang dan orang ramai khususnya penduduk kampung boleh datang untuk memeriahkannya,” katanya di sini semalam.

Menurut beliau, pihaknya mengambil masa tiga bulan untuk menyiapkan sepenuhnya replika gergasi yang bertemakan Masjid Selat Melaka.

Katanya, Masjid Selat Melaka itu dipilih kerana bukan sahaja mempunyai reka bentuk menarik malah mengimbas kenangan ketika Melaka terkenal sebagai pusat kegemilangan tamadun Islam.

“Pemasangan yang dibuat secara bergotong-royong ini bukan sahaja dapat mengeratkan hubungan antara penduduk malah meneruskan tradisi kampung yang dilakukan setiap tahun menjelang Syawal,” katanya.

Seorang penduduk, Megat Mohd. Khir Megat Ibrahim, 38, berkata, dia bersama keluarga tidak melepaskan peluang menyaksikan kreativiti penduduk membina panjut gergasi.

“Kampung ini memang terkenal dengan panjutnya dan ia menggamit nostalgia waktu kecil dulu.

“Tahun lepas, program ini masih diadakan namun agak hambar dan tidak meriah. Kita berharap Covid-19 ini akan berakhir dan tradisi ini dapat diteruskan sampai bila-bila,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya