PETALING JAYA: Pengisytiharan Darurat bagi menangani pandemik Covid-19 tidak berhasil malah situasi kini semakin buruk.
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meluahkan kekecewaan tidak dapat menghadiri sidang Parlimen seperti biasa berikutan ia digantung sementara untuk membuka ruang kepada kerajaan memberi fokus melandaikan graf penularan wabak Covid-19.
“Realiti pada hari ini lebih 2,000 hingga 3,000 kes jangkitan sehari Covid-19 di Malaysia. Ordinan Darurat juga tampak tidak memberi impak dalam menangani penularan wabak.
“Saya pula sebagai wakil rakyat berasa kesal tidak dibenarkan menjalankan tanggungjawab di Parlimen. Untuk menggembleng idea bersama Ahli Parlimen lain mencari jalan keluar buat rakyat dan negara,” katanya dalam Facebook.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan di seluruh negara sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.
Tambah Ahmad Zahid, sehingga kini masih tiada tanda-tanda pemulihan wabak Covid-19 dalam negara malah keadaan tambah memburuk.
Ahmad Zahid berpesan kepada semua rakyat Malaysia untuk cekal menempuh pandemik dan berusaha menghentikan penularan wabak itu.
“Saya menyeru kepada semua dan diri saya sendiri jangan sesekali kita berasa berputus asa. Kita mesti terus lipat gandakan usaha melawan pandemik Covid-19 sedaya upaya.
“Saya tahu rakyat kian kepenatan dan kebosanan. Mereka pernah berkorban banyak perkara. Majoriti rakyat telah berusaha sehabis baik mematuhi SOP sejak PKP pertama 18 Mac tahun lalu,” katanya. – UTUSAN