Noraini kata terserempak, Kian ming cakap dirancang - Utusan Malaysia

Noraini kata terserempak, Kian ming cakap dirancang

NORAINI Ahmad (kiri) dan Ong Kian Ming (tengah) ketika menziarahi seorang mahasiswa baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dua pemimpin daripada UMNO dan DAP masing-masing mengeluarkan kenyataan bercanggah dalam satu kunjungan kepada seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), 13 Mei lalu.

NORAINI AHMAD

Perkara itu menjadi perdebatan di media sosial apabila dikatakan mengiakan kenyataan Presiden UMNO, Datuk Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang memberi bayangan untuk mewujudkan Perikatan 3.0 bersama PKR dan DAP.

Menteri Pengajian Tinggi merangkap Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, beliau terserempak dengan Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming yang turut sama menziarahi mahasiswa tersebut.

Kata Noraini, pertembungan dengan Kian Ming itu ketika mengadakan lawatan ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di UKM yang mana ahli Parlimen DAP itu turut berada di situ.

“Saya ke PPV di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac yang tidak pulang ke kampung halaman untuk sambut Aidilfitri. Di situ saya terserempak dengan Ong.

“Sebelum beredar, Ong tanya hendak ke mana dan saya jawab hendak pergi ziarah pelajar UKM yang sakit dekat Sungai Merab.

“Kemudian dia kata hendak ikut sebab itu bawah Parlimen dia. Itu sahaja. Sebab itu saya kata arahan kononnya daripada presiden UMNO itu fitnah,” katanya dalam satu kenyataan.

Namun dalam kenyataan Kian Ming pula, beliau menjelaskan program ziarah itu dibuat secara terancang selepas pemimpin DAP itu memberi maklumat kepada Noraini mengenai mahasiswa tersebut yang menghidapi kanser tahap empat.

Setelah menerima khabar itu, Noraini dikatakan menghubungi Naib Canselor UKM untuk mendapatkan maklumat tentang pelajar berkenaan.

“Baru-baru ini, saya mendapati berita yang seorang pelajar PhD di UKM (yang di bawah kawasan Parlimen saya) telah dikesan dengan kanser tahap empat. Saya kongsi berita ini dengan Datuk Seri Noraini Ahmad alam kapasiti beliau sebagai Menteri Pengajian Tinggi.

“Setelah menerima berita ini, dia menghubungi VC UKM untuk mendapatkan butiran lanjut mengenai pelajar itu.

“Selepas lawatan ke UKM baru-baru ini yang mana Noraini meninjau Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di UKM untuk berjumpa dengan sukarelawan MyVac, beliau mengajak saya melawat pelajar ini yang tinggal berdekatan. Pelajar itu terkejut dengan lawatan menteri bersama VC dan juga Ketua Pengarah Pengajian Tinggi. (Dia juga menyiarkan gambar-gambar ini di laman sosialnya sendiri),” kata Kian Ming di laman sosial Facebook.

Terdahulu, Ahmad Zahid membayangkan pembentukan jajaran baharu politik bersama PKR dan DAP yang dikenali sebagai Perikatan 3.0 dan bukannya Perikatan Nasional (PN) semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Pendedahan terbuka Ahmad Zahid itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi khabar angin sebelum ini dengan menyifatkan langkah tersebut diambil sesuai dengan dinamik politik yang sedang berlaku mengikut perubahan dan keadaan politik semasa negara.

Katanya lagi, jajaran baharu itu tidak melibatkan PN yang ada sekarang bagaimanapun beliau tidak mendedahkan parti yang akan bersama dalam gabungan baharu itu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya