PETALING JAYA: Dua pelakon popular wanita disahkan postif Covid-19 serta kedua-duanya dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri di rumah bermula hari ini.
Nora Danish atau nama sebenarnya, Nora Mohd Danish Hani, 39, berkata, dia disahkan positif jangkitan tersebut pada hari ini setelah melakukan ujian swab semalam.
“Dukacitanya nak maklumkan Nora didapati positif Covid-19 hari ini 9 Mei 2021. Semalam, Nora ada buat test sebab kontak rapat kategori C. Keputusan pagi tadi mendapati Nora positif walaupun langsung tak ada sebarang symptoms.
“Sekarang Nora kuarantin kendiri di dalam bilik agar anak-anak dan suami selamat. Mereka dah lakukan ujian PCR (Polymerase Chain Reaction) pukul 12 tengah hari tadi dan doakan untuk kami semua ya,” katanya dalam laman Instagram rasminya.
Menurutnya, sepatutnya dia mempunyai temu janji pemberian suntikan vaksin di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pagi tadi, tetapi dinasihatkan untuk menjalani tempoh kuarantin terlebih dahulu.
“Insya-Allah pasti ada hikmah atas apa yang terjadi. Bagi sesiapa yang ada jumpa Nora antara 4 hingga 8 Mei, tolong buat ujian swab ya. Jaga keselamatan dan jaga SOP (prosedur operasi standard). Maafkan saya,” katanya.
Sementara itu, Siti Zaqyah Abdul Razak, 33, atau lebih dikenali sebagai Tiz Zaqyah berkata, semuanya bermula dengan batuk ringan dan menggigil sehingga merasakan badannya tidak seperti sedia kala.
Katanya, dia dimaklumkan positif covid-19 setelah menerima panggilan daripada Pusat Perubatan Subang Jaya, pagi tadi dan dinasihatkan untuk menjalani tempoh kurantian kendiri di rumah.
“Tolong dapatkan segera ujian swab jika anda ada demam, selsema, bersin atau sakit kepala. Jangan ambil mudah kerana mungkin ada sesetengah yang tidak menunjukkan apa-apa simptom. Hanya perlu dapatkan ujian swab sebelum perkara menjadi lebih teruk. Duduk di rumah. Ia (Covid-19) ada di mana-mana,” katanya. – UTUSAN