PUTRAJAYA: Pengetua Cemerlang, Noorizan Mohamed dipilih sebagai penerima anugerah Tokoh Guru Kebangsaan Tahun 2021.
Anugerah itu diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas sempena Hari Guru 2021, hari ini.
Perdana Menteri turut mengumumkan dua penerima Tokoh Kepimpinan Pendidikan Kebangsaan 2021, Datuk Dr. Amin Senin dan Datuk Dr. Habibah Abdul Rahim yang kedua-duanya merupakan bekas Ketua Pengarah Pelajaran.
“Semoga anugerah ini menjadi penyuntik semangat kepada semua warga pendidik untuk terus berusaha dan memberikan sumbangan yang terbaik dalam melonjakkan pendidikan negara dan memastikan Malaysia menjadi sebuah negara yang jauh lebih baik,” katanya.
Muhyiddin berkata, kerajaan sangat menghargai usaha dan pengorbanan guru dalam bidang pendidikan.
Kata beliau, komitmen jitu guru dapat memperkembang potensi murid dan mengetengahkan bakat dan kebolehan diri sendiri.
“Di kesempatan ini, saya ingin menzahirkan penghargaan saya kepada guru-guru yang telah mencapai kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan dan antarabangsa,” katanya. – UTUSAN ONLINE