PUTRAJAYA: Nilai eksport minyak sawit negara meningkat sebanyak 26.9 peratus iaitu RM17.12 bilion untuk tempoh Januari hingga April tahun ini berbanding RM13.49 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu.
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, faktor yang menyumbang kepada peningkatan itu adalah kenaikan harganya dan lelemak saingan yang lain di pasaran dunia.
Menurut beliau, dengan prestasi itu, pihaknya yakin sasaran eksport sawit sebanyak RM75 bilion tahun ini mampu dicapai dengan sokongan program-program baharu kementerian.
Katanya, ini termasuk pelaksanaan program inisiatif tambahan dalam bentuk geran padanan sebanyak RM20 juta melalui Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) yang memanfaatkan 65 Koperasi Penanaman Sawit Mampan (KPSM) dan geran padanan RM30 juta untuk menggalakkan pelaburan dalam mekanisasi serta automasi.
“Program-program ini akan meningkatkan pembelian jentera dan amalan mekanisasi dalam industri komoditi itu.
“Ia disokong dengan penglibatan KPSM secara aktif dan dijangka menjana pendapatan lebih tinggi kepada semua pengusaha sawit termasuk pekebun kecil di seluruh negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd. Khairuddin berkata, industri minyak sawit Malaysia merupakan sektor ekonomi utama yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Beliau menjelaskan, pada tahun lalu, industri ini menyumbang sejumlah RM73.25 bilion daripada hasil eksport dengan sumbangan KDNK sebanyak 3.6 peratus.
Katanya, Malaysia juga menyumbang sebanyak 26 peratus kepada pengeluaran minyak sawit dunia dan 34 peratus kepada jumlah eksport minyak sawit dunia pada tahun lalu.
“Cabaran pandemik Covid-19 dijangka berterusan sepanjang tahun ini, bagaimanapun, kementerian akan terus gigih mendepaninya dalam usaha membangunkan industri agrikomoditi yang merupakan penyumbang signifikan kepada ekonomi negara dan pemangkin kepada peningkatan pendapatan rakyat di luar bandar.
“Kementerian yakin dan percaya bahawa peranan tersebut mampu digalas demi mencapai hasrat kerajaan dan rakyat,” katanya. – UTUSAN