Murid sekolah asrama, tingkatan enam, vokasional dibenarkan pulang beraya - Utusan Malaysia

Murid sekolah asrama, tingkatan enam, vokasional dibenarkan pulang beraya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan membuat keputusan untuk membenarkan murid di asrama sekolah, Kolej Tingkatan Enam dan Kolej Vokasional pulang sempena Hari Raya Aidilfitri.

Kebenaran itu diberikan secara berperingkat bermula pada 6 Mei ini bagi Kumpulan A yang terdiri daripada sekolah-sekolah di negeri Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Kumpulan B pula boleh mula pulang pada 7 Mei, melibatkan sekolah-sekolah di Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Perak, Perlis, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak, Selangor, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Jadual pergerakan pulang murid akan dimaklumkan oleh sekolah kepada ibu bapa dan penjaga.

Kementerian Pendidikan juga membenarkan murid-murid pulang melalui empat kaedah, namun ibu bapa dan penjaga turut dibenarkan merentas negeri untuk menjemput anak masing-masing.

“Menaiki bas yang disediakan oleh pihak sekolah; dijemput oleh ibu bapa atau penjaga; menggunakan pengangkutan udara atau air bagi Sabah, Sarawak dan Labuan atau menggunakan kenderaan sendiri tetapi kebenaran ini hanya untuk pelajar Tingkatan Enam dan pelajar vokasional.

“Sekiranya ibu bapa dan penjaga menjemput anak atau anak jagaan mereka, surat pengesahan bagi tujuan pergerakan merentas negeri atau zon akan dikeluarkan oleh pihak sekolah bagi setiap murid. Kebenaran ini adalah untuk dua orang ibu bapa dan penjaga sahaja dalam setiap kenderaan,” menurut kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, murid yang sedang dalam tempoh kuarantin perlu kekal berada di asrama sehingga tamat tempoh kuarantin serta murid yang asramanya berada di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) perlu kekal berada di asrama sehingga tamat tempoh tersebut.

Selepas sambutan Aidilfitri, murid perlu kembali ke asrama masing-masing sebelum atau pada 12 Jun depan bagi sekolah Kumpulan A dan sebelum atau pada 13 Jun bagi sekolah Kumpulan B.

Ibu bapa dan penjaga serta murid boleh merujuk kepada Garis Panduan Pengurusan Murid Asrama Pulang Sempena Hari Raya Aidilfitri Tahun 2021.

Garis panduan itu turut terpakai kepada Institusi Pendidikan Swasta yang berdaftar dengan kementerian dan ia boleh dimuat turun menerusi pautan https://www.moe.gov.my. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya