Masalah mental, penceraian belia membimbangkan semasa PKP - Utusan Malaysia

Masalah mental, penceraian belia membimbangkan semasa PKP

JUFITRI Joha (kiri), Hamizan Hassan (tengah) dan Izan Asmawi Habidan (kanani) beramah mesra bersama tetamu pada majlis berbuka puasa MBM negeri di salah sebuah hotel di Kangar, Perlis, semalam.- UTUSAN/MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Masalah kesihatan mental dan penceraian dalam kalangan belia cukup membimbangkan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Jufitri Joha berkata, faktor kehilangan kerja dan desakan ekonomi mendorong kepada masalah tersebut.

Malah, beliau mendedahkan, disebabkan masalah tersebut juga, terdapat dalam kalangan anak muda dilaporkan cuba membunuh diri.

Sehubungan itu, beliau menggesa kerajaan memberi perhatian serius terhadap masalah kesihatan mental dalam kalangan belia dengan memberi tumpuan kepada isu ekonomi dan pekerjaan khususnya dalam tempoh mencabar pandemik Covid-19 ketika ini.

“Ada dalam kalangan anak muda mengadu mengenai masalah penceraian selepas sudah tidak mampu menanggung pasangan masing-masing selepas kehilangan kerja dan perniagaan ‘lingkup’ dalam tempoh PKP. Masalah penceraian ini juga didapati meningkat sepanjang tempoh PKP.

“Kita juga menerima laporan mengenai cubaan membunuh diri dan mereka yang menghadapi tekanan atau masalah kesihatan mental akibat desakan ekonomi.

“Masalah ini menyebabkan anak muda menjadi sangat tertekan,” katanya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa MBM negeri di salah sebuah hotel di sini, semalam.

Yang hadir sama, Pengerusi Jawatan kuasa Belia dan Sukan negeri, Hamizan Hassan dan Yang Dipertua MBM negeri, Izan Asmawi Habidan.

Pada Ogos tahun lalu, Utusan Malaysia pernah melaporkan, hilang punca pendapatan, menganggur dan stres semasa PKP akibat pandemik Covid-19 ternyata mencetuskan ‘kebiasaan baharu’ dalam kehidupan masyarakat dengan meningkatnya kes-kes perceraian.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah, Datuk Dr. Mohd. Naim Mokhtar dilaporkan berkata, sebanyak 6,569 kes penceraian didaftarkan sepanjang tempoh tiga bulan pertama PKP dari 18 Mac hingga 18 Jun tahun lalu.

Tambah Jufitri, hasil pemerhatian, masalah kesihatan mental dan penceraian tersebut membabitkan golongan belia berumur antara 18 tahun sehingga 25 tahun.

Sementara itu, Jufitri berkata, dalam menyambut Hari Belia Negara pada 15 Mei, beliau berharap kerajaan akan mengumumkan sesuatu untuk golongan tersebut.

“Antaranya seperti usaha mencipta peluang pekerjaan, bantuan perniagaan, gaji minimum dan inisiatif-inisiatif lain untuk golongan belia,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya