PETALING JAYA: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu menjalankan fungsi sebenar sebagai sebuah badan dalam penguatkuasaan undang-undang antarabangsa.
Pengerusi Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris berkata, fungsi tersebut turut meliputi hak asasi manusia, undang-undang kemanusiaan antarabangsa, Piagam PBB dan jenayah perang yang menyalahi Konvensyen Keempat Geneva 1949.
Katanya, penyelesaian terbaik kepada konflik Palestin-Israel hanya boleh dicapai melalui rundingan bagi memastikan keamanan, keselamatan dan kestabilan serantau yang berkekalan.
“Sejajar dengan itu, Kaukus Kesejahteraan Rakyat Dewan Negara menyeru seluruh rakyat Malaysia termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan-badan korporat dan parti politik bersatu suara mengutuk tindakan keji Israel terhadap rakyat Palestin.
“Kami turut menyokong kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa penyelesaian adil dan saksama melalui Penyelesaian Dua Negara atau ‘Two-State Solution’ berdasarkan garis sempadan sebelum tahun 1967 dengan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin sebagai satu-satunya jalan penyelesaian terhadap konflik Palestin-Israel,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sebelum ini, Malaysia mengutuk keganasan Israel terhadap Palestin di Semenanjung Gaza dan menempelak Majlis Keselamatan PBB kerana gagal bertindak terhadap keganasan yang dilakukan. – UTUSAN ONLINE