MAIWP rai 300 anak yatim, pelajar - Utusan Malaysia

MAIWP rai 300 anak yatim, pelajar

MOHD. Daud Bakar (tengah) dan pegawai Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan bersama penerima bantuan Aidilftri baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memberi sumbangan Aidilfitri kepada 300 anak yatim dan pelajar dari tiga institusi di bawahnya dalam majlis berbuka puasa di ibu negara, baru-baru ini.

Institusi tersebut ialah rumah anak-anak yatim Kompleks Darul Kifayah, Pondak Moden Al-‘Abaqirah (PMA) dan Ma’alim Al-Sunan Li Dirasati Al-Sunah Al-Nabawiyyah (MSN).

Pengerusi MAIWP, Datuk Dr. Mohd. Daud Bakar berkata, beliau bertuah kerana dapat bersama-sama dengan anak yatim dan pelajar yang melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang Ramadan ini.

Ujarnya, aktiviti tersebut ialah Qiamullail, tadarus Quran, tarawih dan program Khatam Quran yang bertujuan melatih dan membiasakan para pelajar dengan amalan mulia di samping merebut ganjaran pahala.

“Kami bersyukur dapat menyerahkan sumbangan dalam majlis yang diadakan secara sederhana berdasarkan norma baharu ini.

“MAIWP turut berbangga apabila rakan QSR BRANDS dapat memberikan sumbangan iaitu hidangan KFC kepada anak yatim dan para pelajar ini. Moga jalinan kerjasama ini berteruskan pada masa-masa akan datang,” katanya selepas merasmikan majlis berbuka puasa itu.

Yang hadir sama Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi) yang melaksanakan tugas Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Mohd. Nizam Yahya dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan) MAIWP, Mahadi Sukarno.

Dalam majlis tersebut, seramai 300 pelajar Kompleks Darul Kifayah menerima sumbangan Aidilfitri RM300 setiap seorang dengan jumlah keseluruhan bernilai RM90,000.

Kompleks Darul Kifayah adalah pusat perlindungan anak yatim milik MAIWP yang ditubuhkan bagi menjaga kesejahteraan anak yatim, saudara baharu dan pelajar-pelajar miskin dengan menyediakan tempat kediaman sementara, memberi bimbingan agama dan akhlak serta kemudahan pendidikan yang sempurna.

Selain itu, turut diraikan seramai 166 pelajar dari PMA yang menerima sumbangan RM200 setiap seorang dengan keseluruhannya bernilai RM33,200.

PMA ditubuhkan bagi mengisi kepakaran Islam dalam pelbagai disiplin ilmu seperti syariah, akidah, akhlak (tasawuf) dan muamalat, di samping mengkaji kitab-kitab turath dalam bentuk transformasi dan moden.

Seterusnya, seramai 29 pelajar MSN menerima sumbangan RM200 setiap seorang yang nilai keseluruhannya sebanyak RM5,800. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN