LONDON: Leicester City merangkul Piala FA buat kali pertama dalam sejarah 137 tahun kelab selepas jaringan sensasi Youri Tielemans menumpaskan Chelsea 1-0 di depan 22,000 penonton di Wembley hari ini.
Kemenangan itu hadir lima tahun selepas The Foxes melakar sejarah muncul juara Liga Perdana Inggeris dalam penampilan sulungnya pada saingan utama.
Perlawanan tersebut juga mencatat kehadiran penonton terbesar dalam acara sukan di England sejak pandemik Covid-19 menyerang dunia, 14 bulan lalu.
Penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel cemerlang menyelamatkan percubaan bahaya Mason Mount pada lewat permainan, malah jaringan Chelsea turut dibatalkan oleh video bantuan pengadil (VAR) selepas didapati ofsaid.
Pengendali Leicester, Brendan Rodgers berkata, dia amat bangga dengan pencapaian pasukannya musim ini, apatah lagi mereka juga di ambang untuk layak ke Liga Juara-Juara musim depan dengan menghuni tangga ketiga liga.
“Ini hari yang amat bersejarah buat kelab. Memenangi Piala FA buat kali pertama sesuatu yang istimewa.
“Saya gembira buat pemain, peminat dan Khun Top (nama gelaran pemilik kelab, Aiyawatt Srivaddhanaprabha) serta keluarganya.
“Jaringan Youri amat menakjubkan dan kami berhak menang. Setiap trofi sangat istimewa, saya amat bangga menjadi pengurus kelab hebat ini,” kata Rodgers.
Empat kali Leicester kalah selepas melangkah ke perlawanan akhir, namun semua kekalahan itu hadir 52 tahun yang lalu.
Leicester kini bakal berdepan dua lagi tugas berat pada baki saingan Liga Perdana untuk mengesahkan diri dalam kelompok empat terbaik.
Mereka akan menentang Chelsea sekali lagi di Stamford Bridge, Rabu ini sebelum menutup kempen dengan berdepan Tottenham, Ahad depan.
Selepas 36 perlawanan, Leicester mengumpul 66 mata, dua mata mengatasi Chelsea yang menduduki tangga keempat, manakala Liverpool dengan 60 mata di tempat kelima dan memiliki kelebihan satu perlawanan dalam tangan. – AGENSI