PETALING JAYA: Lebih 30 peratus perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini bakal gulung tikar dalam tempoh tiga bulan akan datang berikutan berlaku kemerosotan aliran tunai yang ketara selain perniagaan amat perlahan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 12 Mei lalu sehingga 6 Jun ini.
Malah, kekurangan pelanggan juga menyebabkan produk-produk yang dijual para peniaga kecil ini tidak laku berbanding biasa selain banyak pembeli mematuhi saranan kerajaan untuk duduk di rumah dan kurang berbelanja di luar bagi mengurangkan jangkitan Covid-19.
Selain itu, PKS juga bakal berhadapan masalah kewangan yang amat ketara jika insentif dan moratorium baharu tidak diperkenalkan sepanjang pelaksanaan PKP berkenaan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Persatuan Pengusaha Kecil Dan Sederhana Malaysia, Datuk Michael Kang Hua Keong berkata, gesaan itu dibuat setelah menjalankan kajian dan mendapati PKS tidak mempunyai pendapatan yang cukup untuk meneruskan perniagaan mahupun mampu menyediakan duit sewa, membayar hutang bank dan sebagainya.
Malah, beliau menjangkakan, jika insentif dan moratorium tidak diperkenalkan dalam tempoh tiga bulan, kemungkinan besar ramai golongan PKS yang terpaksa ‘gulung tikar’.
“Kami ada buat kajian untuk mengenal pasti bentuk bantuan apa yang diperlukan oleh PKS. Hakikatnya, insentif sememangnya tidak mencukupi dan memerlukan moratorium, sebab orang tak boleh keluar rumah, tidak ramai yang hendak keluar membeli, nak jual nasi lemak pun tidak berapa laku.
“Kalau kita lihat PKP sebelum ini, dalam tempoh tiga bulan baru kes turun banyak, PKP terbaharu ini juga pastinya akan mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan. Sebab itu PKS amat memerlukan insentif baharu serta moratorium kerana selepas ini dijangka ramai yang tidak mampu bayar lagi hutang bank,” katanya.
Dalam pada itu, Felo Kanan, Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM), Ahmad Yazid Othman menyifatkan rakyat telah berkorban untuk mengeluarkan wang simpanan masa tua mereka menerusi i-Sinar dan i-Lestari berjumlah RM77.8 bilion dan membelanjakannya yang secara tidak langsung membantu kepada pemulihan ekonomi negara.
“Maka sepatutnya tidak menjadi masalah untuk memberi pakej bantuan kewangan seperti Dana Sara Hidup Covid 3.0 berjumlah sebanyak RM8 bilion untuk 6 juta orang yang akan terlibat dengan bantuan sebanyak RM1,200 sebulan.
“Ini juga boleh disalurkan melalui subsidi upah di bawah kelolaan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi mereka yang layak mempunyai upah di bawah RM5,000 yang diremit secara terus pada majikan,” katanya.
Pada masa sama, Ahmad Yazid berpandangan kerajaan perlu memperkenalkan moratorium sama ada enam bulan atau untuk 12 bulan mengikut kemampuan.
“Jika moratorium enam bulan bermula Jun hingga September melibatkan semua jenis pinjaman perbankan, peminjam wang berlesen, pinjaman kredit termasuk kad kredit, tidak mampu dilaksanakan, kerajaan mesti pertimbangkan moratarium secara bersasar selama 12 bulan, yang terhad pada nilai pinjaman untuk kenderaan berharga di bawah RM150,000, nilai hartanah di bawah RM1.5 juta dan semua pinjaman di bawah RM100,000 tanpa kenaikan bunga,” katanya. – UTUSAN