Laluan sukar buat penjajaran politik baharu - Utusan Malaysia

Laluan sukar buat penjajaran politik baharu

SIVAMURUGAN PANDIAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiada guna membuat jajaran politik baharu jika tidak mendapat sokongan daripada ahli parti.

Ia berikutan penjajaran politik baharu yang diberi bayangan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi untuk mewujudkan Perikatan 3.0 bersama PKR dan DAP.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, penganalisis politik, Dr. Sivamurugan Pandian berkata, penjajaran baharu itu perlu mendapat sokongan daripada akar umbi seterusnya memberi keyakinan kepada rakyat seluruhnya.

“Jika itu mahu dilakukan, kita harus melihat sejauh mana ahli parti bersetuju sedangkan beberapa bulan ini kerap dikatakan ‘No Anwar, No DAP’.

“Tiba-tiba jika wujud kerjasama, itu gambaran yang tidak begitu baik melainkan telah diperjelaskan kepada ahli parti,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu, Ahmad Zahid membayangkan usaha penggabungan adalah bersama PKR dan DAP selepas mempertimbang kesesuaian dinamik politik negara yang sentiasa berubah atau mengikut perubahan semasa.

“Kedinamikan politik pasti berlaku. Saya bukan seorang nujum politik tetapi saya yakin kalau mahu disebut hala tuju atau kedinamikan itu, sama ada ia akan diadakan dalam waktu terdekat, atau dalam tempoh yang hanya Allah sahaja tahu kerana kalau mengikut cukup tempoh, pilihan raya adalah pada 2023,” kata Zahid sebelum ini.

Mengukuhkan fakta tersebut, dilihat program UMNO mulai berjalan bersama DAP apabila Ketua Wanita UMNO, Datuk Dr. Noraini Ahmad menziarahi seorang mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menghidapi kanser tahap empat bersama Ahli Parlimen DAP Bangi, Ong Kian Ming.

“Kita tengok UMNO mahu kerjasama DAP dan PKR, tetapi adakah PKR dan DAP ada cita rasa yang sama? Apakah penyokong PKR bersedia untuk bekerjasama dengan UMNO sedangkan mereka telah memberi pelbagai pandangan negatif ke atas UMNO?

“Kerjasama 3.0 ini banyak bergantung kepada keupayaan dan kepercayaan dalam kalangan ahli,” ujar Sivamurugan lagi.

SALAWATI MAT BASIR

Dalam pada itu, penganalisis politik, Dr. Salawati Mat Basir turut mempersoal penerimaan Melayu itu sendiri terhadap penggabungan yang melibatkan DAP.

“Isunya bolehkah orang Melayu majoriti menerimanya?

“Cuaca politik masa ini belu menerima kerjasama dari DAP apatah lagi jika UMNO yang teringin nak bekerjasama,” katanya.

Bagaimanapun, Naib Pengerusi DAP Perak, Prof Dr. Aziz Bari berkata, tidak semua bangsa Melayu yang menolak DAP, lantas ia memperlihat peluang yang cerah untuk menang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti untuk memilih gabungan politik baharu. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya