JOHOR BAHRU: Sektor perindustrian dan komuniti merekodkan jumlah kluster aktif tertinggi di negeri ini dengan masing-masing mencatatkan sebanyak 22 kluster dan 28 kluster sejak semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, R.Vidyananthan berkata, pertambahan kluster itu menyumbang kepada 407 kes baharu Covid-19 dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes terkini di negeri ini sebanyak 51,217 kes.
“Jumlah kumulatif kluster aktif pula sebanyak 72 kluster iaitu 22 kluster adalah penularan dalam industri, 28 kluster di dalam komuniti.
“Ini diikuti dengan 16 kluster dalam institusi, dua kluster pasar raya dan dan empat kluster melibatkan tahanan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Johor mencatatkan empat kluster baharu yang dilaporkan pada Selasa iaitu Kluster Jalan Petaling Industri, Kluster Jalan Besi Satu, Kluster Jalan Bukit Mutiara dan Kluster Jalan Sri Putri Empat.
Dua daripada kluster tersebut adalah kluster perindustrian iaitu Kluster Jalan Petaling Industri dan Jalan Besi Satu. Manakala Kluster Jalan Bukit Mutiara merupakan kluster berpunca daripada aktiviti keagamaan dan Kluster Jalan Sri Putri Empat adalah kluster melibatkan institusi pendidikan dan komuniti.
Vidyananthan berkata, kumulatif kematian setakat ini adalah sebanyak 172 kes, meningkat sebanyak 38 kes berbanding 134 kes yang direkodkan pada 9 Mei lalu.
Tambah beliau, negeri itu juga sejak kebelakangan ini merekod peningkatan kes Covid-19 yang dilaporkan dalam kalangan komuniti.
Katanya, ia akibat aktiviti sosial dan keagamaan yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalan 3S iaitu ruang sempit, sesak dan sembang dekat.
Ujarnya, terdapat juga pelaporan penularan dari aktiviti sosial keluarga seperti kenduri kahwin dan aktiviti riadah yang lain secara berkumpulan.
“Justeru, adalah dinasihatkan agar masyarakat terus kekal berwaspada setiap masa serta mematuhi SOP Covid-19 dengan mengamalkan 3W (wash, wear, warn) serta mengelakkan 3S,” katanya. – UTUSAN ONLINE