Kilang lebur logam haram dalam kebun kelapa sawit - Utusan Malaysia

Kilang lebur logam haram dalam kebun kelapa sawit

Jabatan Alam Sekitar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BATU GAJAH: Sebuah kilang melebur logam haram yang tersorok di kawasan kebun kelapa sawit di Tanjung Tualang dekat sini diserbu penguat kuasa Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri Perak  semalam.

Serbuan dilakukan hasil maklumat awam setelah curiga dengan operasi kilang berkenaan sejak sebulan lalu.

Pengarah JAS Perak, Rosli Zul berkata, kedudukan kilang  di dalam kebun kelapa sawit sejauh empat kilometer dari jalan besar dan kawasan perumahan menyukarkan operasinya dikesan pihak berkuasa.

Menurut beliau, semasa serbuan kilang itu telah pun ditinggalkan pemiliknya termasuk pekerja berdasarkan peralatan-peralatan yang ditemui selain terdapat dua ruang pembakaran untuk peleburan logam di premis tersebut bersama sisa-sisa pembakaran.

“Hasil pemeriksaan mendapati, kemudahan-kemudahan yang ditinggalkan menunjukkan kilang beroperasi menjalankan proses-proses peleburan tetapi tiada bahan mentah untuk melebur ditemui.

“Tiada alat kawalan pencemaran dipasang manakala teknologi pembangunan pemprosesan yang dijalankan bukan teknologi terkini sebaliknya  teknologi konvensional yang tidak lagi sesuai,” katanya kepada pemberita hari ini.

Operasi turut disertai petugas-petugas daripada Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau negeri, Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Batu Gajah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) Perak, Jabatan Imigresen dan polis.

Jelas Rosli, semakan pihak PTD Batu Gajah mengenal pasti pemilik tanah, namun siasatan lanjut akan dijalankan bagi mengesan pengendali kilang untuk diambil tindakan.

Katanya lagi, sampel sisa bahan yang diproses telah diambil untuk dihantar ke jabatan kimia bagi mengenalpasti sama ada bahan tersebut dalam kategori barang buangan berjadual.

“Sekiranya buangan dihasilkan dikategorikan sebagai buangan berjadual, maka kita akan arahkan pemilik tanah untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan tinggalan berdasarkan Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekitar (AKAS),” tegasnya.

Orang awam diseru untuk melaporkan sebarang aktiviti-aktiviti mencurigakan yang boleh merosakkan alam sekitar kepada JAS di talian bebas tol 1-800-88-2727 atau adu ke e-Aduan JAS.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya