Kesesakan trafik hari pertama KPK Mukim Taiping - Utusan Malaysia

Kesesakan trafik hari pertama KPK Mukim Taiping

OSMAN Mamat memeriksa dokumen pemilik kenderaan dalam SJR di Taiping, Perak, hari ini. - UTUSAN/WAT KAMAL ABAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAIPING: Hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Mukim Taiping, di sini, hari ini berlaku kesesakan lalu lintas di laluan memasuki bandar Taiping.

Kesesakan berlaku disebabkan ramai pengguna kenderaan yang mahu masuk ke bandar ini untuk bekerja selain mempunyai urusan lain tanpa mengetahui terdapat sekatan jalan raya (SJR) di empat laluan pintu masuk ke bandar Taiping.

Keadaan itu menyebabkan ada pengguna kenderaan yang diarahkan berpatah balik oleh anggota polis yang bertugas di SJR kerana memberi alasan tidak munasabah serta tidak mempunyai surat untuk rentas daerah.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, empat SJR diadakan di Persimpangan Jalan Air Putih-Jalan Ipoh Butterworth, Jalan Changkat Larah, Persimpangan Jalan Taiping -Kuala Sepetang dan Jalan Ayer Kuning berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Menteri.

Katanya, SJR dilaksanakan selepas kerajaan mengumumkan PKP di Mukim Taiping selama 14 hari bermula hari ini.

Menurutnya, polis tidak teragak -agak untuk mengeluarkan kompaun kepada sesiapa yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP.

“Sebanyak 30 anggota dan diketuai dua pegawai akan membuat pemantauan dan saman akan dikeluarkan kepada yang ingkar SOP seperti merentas daerah tanpa surat kebenaran atau tanpa alasan munasabah kecuali bagi kes-kes kecemasan.

“Mereka yang memberi alasan tidak munasabah dan tidak termasuk dalam hal kecemasan serta tanpa surat kebenaran untuk merentas akan diarahkan berpatah balik,” katanya ketika meninjau SJR di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN