KEMAMAN: Kerajaan bakal melanjutkan skim kawalan harga barangan keperluan utama selepas Hari Raya Aidilfitri sekiranya berlaku kenaikan harga mendadak.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid berkata, langkah itu akan diambil jika harga barangan seperti ayam, daging dan lain-lain kembali melambung.
“Kalau harga barang naik melampau selepas raya, kita boleh melaksanakan kawalan kerana komitmen kita bukan pada musim perayaan sahaja, sebaliknya pada bila-bila masa.
“Harga barang yang dikawal ini bukan hanya melibatkan ayam dan daging tetapi semua barangan keperluan makanan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan pematuhan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Hari Raya Puasa 2021 Fasa Dua di Sabasun Kijal di sini hari ini.
Sebanyak 20 lagi barangan disenaraikan dalam SHMMP Hari Raya Puasa 2021 Fasa Dua yang bermula hari ini hingga 20 Mei antaranya bawang besar, kelapa parut, cili kering, ubi kentang, kacang tanah, tomato, sawi, timun, terung dan kacang panjang.
Dalam pada itu, Rosol berkata, sebanyak 203 kes pelanggaran skim itu dikesan sejak 21 April lalu berdasarkan pemeriksaan yang dilakukan di 29,170 premis borong dan runcit di seluruh negara.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM30,050 kompaun dikeluarkan dengan melibatkan sebanyak RM21,067.81 jumlah sitaan.
“Kesalahan yang paling tinggi adalah tiada tanda harga dengan 90 kes diikuti gagal menggunakan tanda harga khas (60 kes) dan menjual melebihi harga maksimum (53 kes),” katanya. – UTUSAN ONLINE