KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia hari ini berjaya mendapatkan penghakiman ingkar terhadap Tan Kim Loong atau Eric Tan berhubung tunggakan cukai pendapatan berjumlah RM67.9 juta.
Kim Loong atau turut dikenali sebagai Eric Tan merupakan sekutu kepada ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Penghakiman ingkar tersebut dikeluarkan oleh Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, Farah Shuhada Ramli sewaktu pengurusan kes itu hari ini selepas Kim Loong gagal memasukkan kehadirannya dalam permohonan tuntutan tunggakan cukai itu yang difailkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi pihak kerajaan pada 15 Januari lalu.
Menurut penghakiman tersebut, lelaki berkenaan yang kini telah menghilangkan diri sejak tercetusnya skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Kim Loong dikehendaki membayar tunggakan cukai sebanyak RM67,996,891.87.
Lelaki itu juga perlu membayar faedah sebanyak lima peratus setahun bermula dari tarikh penghakiman (3 Mei) sehingga penyelesaian penuh serta kos sebanyak RM2,000.
Menurut penyataan tuntutan yang difailkan LHDN, Kim Loong yang dinamakan sebagai defendan telah gagal membayar cukai pendapatan selama empat tahun iaitu sebanyak RM2,706,021.82 bagi tahun 2010, RM22,090,949.92 (2011), RM35,479,911.48 (2012) dan RM1,538,473.04 (2013).
Notis-notis taksiran telah dihantar pada 24 November 2020 ke alamat terakhir defendan di Taman Pusat Kepong dekat sini namun tidak pernah dikembalikan semula kepada plaintif.
Kegagalan membayar cukai dalam tempoh masa yang ditetapkan menyebabkan jumlah-jumlah tersebut telah meningkat sebanyak 10 peratus bagi setiap tahun yang ditaksirkan itu sehingga kini.
Nama Kim Loong pernah disebut sewaktu perbicaraan kes penyelewengan dana RM42 juta syarikat SRC International Sdn. Bhd. yang dihadapi oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurut kenyataan Kim Loong yang diberikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 29 November 2015, lelaki itu menyatakan pernah menyalurkan wang berbilion ringgit ke akaun Najib di antara 2011 hingga 2015 melalui beberapa syarikat miliknya namun tidak mengetahui punca wang tersebut.
Namanya juga pernah disebut dalam perbicaraan bekas pegawai Bank BSI Singapura, Yeo Jia Wei yang dihukum penjara 54 bulan selepas mengaku bersalah atas tuduhan penggubahan wang haram dan penipuan berkaitan dengan salah guna dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – UTUSAN