GEORGETOWN: Pasangan kembar seiras, Mohd. Hilmi Mahmud dan adiknya, Mohd. Zaidi, 35, tetap meneruskan amalan tradisi menyambut Aidilfitri biarpun tidak berpeluang meraikannya di kampung halaman buat kali kedua.
Di sebalik meraikannya penuh kesayuan, dua beradik yatim piatu itu masih mempunyai cara tersendiri untuk memeriahkan Syawal dalam suasana pandemik Covid-19.
Kedua-dua pasangan kembar yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu merupakan pensyarah di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berasingan di negeri ini.
Menurut Mohd. Hilmi, Aidilfitri tahun ini tetap diraikan mereka berdua biarpun kerinduan menziarahi pusara ibu dan bapa serta beraya di kampung halaman begitu terasa.
“Ini merupakan tahun kedua kami beraya sebagai anak perantau ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.
“Hendak menangis pun sudah tiada gunanya lagi kerana perlu akur dengan arahan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19.
“Tahun ini, kami tetap membuat persiapan menyambut hari raya dengan masing-masing membeli lima pasang persalinan termasuk baju Melayu sedondon serta membuat lima jenis biskut raya,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Celah kembarnya, Mohd. Zaidi, sambutan perayaan kali ini agak berbeza berbanding tahun-tahun sebelum ini memandangkan mereka hanya beraya berdua di perantauan. – UTUSAN