Keluar dari Kelantan, bawa pulang varian Afrika Selatan

Keluar dari Kelantan, bawa pulang varian Afrika Selatan

DR. IZANI HUSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pergerakan keluar masuk penduduk dari Kelantan ke ibu negara dipercayai menjadi punca penularan varian Afrika Selatan B.1.351 di negeri ini dengan sekurang-kurangnya 10 kes membabitkan varian itu dikesan setakat ini.

Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr. Izani Husin berkata, selepas selesai urusan di luar, individu yang sudah dijangkiti itu tanpa sedar telah terbawa pulang varian baharu Covid-19 itu bersamanya.

Akibat ‘buah tangan’ dari luar tersebut kata beliau, sebanyak 10 kes membabitkan varian tersebut telah dikesan dari Kluster Bunut Sarang Burung di Tumpat, setakat semalam.

“Siasatan mendapati penularan varian Afrika Selatan ini hasil pergerakan rentas negeri dari Kelantan mungkin untuk menghadiri majlis atau kenduri di Kuala Lumpur sebelum membawa balik varian tersebut.

“Kita orang Kelantan suka berderak (berjalan) dan gelewak (menyibuk) namun elakkan dulu aktiviti itu kerana keadaan pandemik Covid-19 semakin serius di negeri ini dengan lebih 400 kes sehari,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Varian Afrika Selantan dilaporkan bukan sahaja bersifat superspreader atau kebolehjangkitan tinggi, malah mengurangkan imuniti apabila individu dijangkitinya dikatakan mengalami kesan lebih buruk berbanding varian sedia ada.

Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Izani berkata, keadaan Covid-19 diakui sudah kritikal di Kelantan menyebabkan kerajaan negeri mengambil keputusan membuka hospital medan serta menambah Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC).

Katanya, selain fasiliti hospital tidak mencukupi, Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital juga mencecah hampir 100 peratus penggunaan sehingga ada pesakit lain yang kritikal terpaksa ditempatkan di wad biasa.

“Kelantan kini turut kekurangan kakitangan kesihatan dan kita ditampung petugas yang dipinjamkan dari negeri lain terutama Kedah. Jika mereka dipanggil berkhidmat ke negeri asal, Kelantan bakal berdepan masalah besar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN