PETALING JAYA: Tiga penjenayah bersenjatakan parang, kapak dan tukul melarikan pelbagai jenis barang kemas hanya kira-kira satu minit dari premis dalam pasar raya di Jalan Gombak, di sini hari ini.
Kejadian kira-kira pukul 5 petang itu berlaku apabila premis tersebut dimasuki tiga lelaki memakai jaket dengan topi keledar bertutup penuh serta memakai pelitup muka.
Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, suspek kemudian memecahkan ruang pameran kaca dalam kedai tersebut dan melarikan sejumlah barang kemas.
Katanya, pemeriksaan mendapati premis berkenaan tiada pengawal keselamatan dan hanya mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
“Suspek dipercayai melarikan diri dengan motosikal. Bagaimanapun tiada sebarang kecederaan dalam kejadian tersebut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan tanpa senjata api,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Tambahnya, orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menyalurkannya ke Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau balai polis berhampiran. – UTUSAN ONLINE