Kebajikan, pendidikan STAY ATM kekal terpelihara - Utusan Malaysia

Kebajikan, pendidikan STAY ATM kekal terpelihara

ISMAIL Sabri Yaakob (tengah) beramah mesra dengan pelajar STAY ATM pada majlis berbuka puasa di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Turut kelihatan Affendi Buang (kiri). - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan sentiasa memberi perhatian terhadap Sekolah Tahfiz dan Asrama Anak Yatim Angkatan Tentera Malaysia (STAY ATM) yang ditubuhkan sejak lapan tahun lalu agar kebajikan mereka terus dipelihara.

Sempena bulan Ramadan, STAY ATM diraikan dengan menerima sumbangan daripada kementerian itu menerusi keprihatinan Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika beliau menyantuni para pelajar dalam majlis berbuka puasa di sekolah tersebut di Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Yang hadir sama Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.

Ismail Sabri menyampaikan sumbangan Ramadan kepada 85 pelajar termasuk empat orang anak yatim dan sumbangan peribadi kepada pengurusan sekolah bagi membina gazebo.

Katanya, sumbangan itu dibuat bagi memastikan kebajikan STAY ATM terus dipelihara.

“Setakat ini, tempat tinggal pelajar okey, pembelajaran sekolah juga okey, tidak ada kekurangan di sekolah ini. Malah, segala perbelanjaan di semuanya ditanggung oleh ATM.

“Sumbangan ini juga termasuk membina gazebo, supaya pelajar boleh gunakannya untuk jadi tempat berehat di waktu petang, tidaklah duduk di asrama sahaja untuk ulangkaji pelajaran. Ia juga boleh digunakan sebagai tempat ibu bapa datang, jadi ada tempat untuk berjumpa,” katanya.

STAY ATM yang ditubuhkan sejak 1 Mac 2013 menumpukan kepada penyertaan pelajar usia 13 hingga 17 tahun dengan pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga mempelajari hafazan sepenuh masa manakala Tingkatan Empat dan Lima menumpukan kepada Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

AZHAN ALI

Pengetua sekolah, Mejar Azhan Ali berkata, sekolah itu ditubuhkan bagi memelihara kebajikan dan mendidik anak-anak yatim warga ATM menerusi pendidikan al-Quran dan memberi peluang kepada anak-anak mengikuti kelas pengajian tahfiz secara formal.

Ketika ini, katanya, STAY ATM mempunyai 15 kakitangan termasuk 11 tenaga pengajar dari Kor Agama Angkatan Tentera (Kagat) manakala para pelajar terdiri daripada anak-anak ATM, veteran ATM dan anak kakitangan awam yang berkhidmat dengan Kementerian Pertahanan.

“Sejak penubuhannya, seramai 76 pelajar melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam dan swasta. Dengan kelulusan yang dicapai, insya-Allah mereka dapat melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya lagi, pembelajaran hafazan adalah berterusan termasuk ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang menyaksikan pengajaran hafazan diadakan di rumah masing-masing menerusi kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

AHMAD HARIEZ AL MUSHRIF MOHD. REDUAN

Dalam pada itu, beberapa pelajar STAY ATM meluahkan rasa teruja apabila dapat menyertai sekolah itu termasuk Ahmad Hariez Al Mushrif Mohd. Reduan, 16, yang menyertai sekolah itu pada 2018.

“Seronok belajar di sini, ustaz tegur apa yang salah dan makan pun terjaga. Saya memang minat nak belajar al-Quran. Bila dah habis belajar nanti saya nak jadi askar Kagat,” katanya yang berasal dari Perak.

MUHAMMAD AQID RIEZKY NAZRY

Bagi Muhammad Aqid Riezky Nazry, 13, dia baru sahaja menyertai STAY ATM bulan lalu sejak berpindah dari Johor, namun mengakui pembelajarannya berjalan dengan lancar.

“Alhamdulillah, setakat ini saya sudah menghafal lima juzuk al-Quran. Saya baru masuk awal bulan April lalu, masa mula-mula dulu biasalah rasa rindu dengan keluarga tetapi sekarang dah okey. Saya harap dapat jadi pendakwah bebas satu hari nanti,” katanya yang merupakan anak pesara tentera.

MUHAMAD HAFFIZUDDIN SAAT

Seorang anak yatim, Muhamad Haffizuddin Saat, 15, mengakui ada hikmah di sebalik kemasukannya di STAY ATM, selepas pemergian bapanya tahun lalu kerana darah tinggi.

“Ayah seorang pesara tentera, dia yang minta saya sertai sekolah ini dahulu pada 2019. Sekarang saya sudah hafal 21 juzuk. Saya rasa okay dapat duduk sini, gembira, tenang, boleh berdikari dengan sendiri. Saya harap dapat hafal 30 juzuk tahun ini, saya nak bawa ayah masuk syurga,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya