KOTA BHARU: Dua pasangan terpaksa menangguhkan majlis akad nikah selepas Kampung Pauh Lima di daerah ini dan Bachok dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) hingga 1 Jun ini.
Majlis itu tidak dapat diteruskan kerana Imam Tua Masjid Pauh Lima, di sini yang sepatutnya menikahkan mereka terpaksa ‘memakai’ gelang merah jambu kerana baru selesai menjalani ujian saringan Covid-19.
Imam tersebut, Ibrahim Wahab berkata, selain beliau, bakal pengantin perempuan salah satu pasangan juga terpaksa menjalani kuarantin selepas disaring mulai semalam.
“Satu pasangan berusia lingkungan 20-an sepatutnya dinikahkan saya pada hari raya ketiga manakala satu lagi pasangan sepatutnya dinikahkan Jumaat ini. Kedua-dua majlis akad nikah terpaksa ditangguhkan dulu ke tarikh lain.
“Saya diarah menjalani saringan pagi ini (semalam) sebab sudah dua ahli kariah Masjid Pauh Lima meninggal dunia, dipercayai akibat jangkitan Covid-19,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, semalam.
Ibrahim berkata, sepanjang tempoh kuarantin, beliau tidak dibenarkan melakukan semua aktiviti di masjid termasuk majlis akad nikah selain Masjid Pauh Lima diarah tutup mulai semalam untuk tujuan sanitasi.
“Saya difahamkan sudah lebih 100 penduduk selesai menjalani saringan dan ramai yang didapati positif sehingga perlu menjalani kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) di Kota Bharu,” katanya.
Kampung Pauh Lima yang terletak di sempadan jajahan Kota Bharu dan Bachok dikenakan PKPD hingga 1 Jun ini susulan 78 penduduk di kampung itu didapati positif Covid-19 dalam tempoh 11 hari. – UTUSAN ONLINE