Jual biskut raya kumpul duit ke universiti - Utusan Malaysia

Jual biskut raya kumpul duit ke universiti

NURAIN Farhafarana bersama biskut raya dihasilkan di rumahnya di PPR Gua Musang, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: Ramadan ini memberi rezeki berganda buat seorang gadis lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) apabila tidak menang tangan menghasilkan hampir 20,000 biji biskut raya pelbagai jenis yang ditempah pelanggan.

Nurain Farhafarana Mohd. Saiful Asraf, 18, seorang bekas pesakit kanser buah pinggang sanggup bersengkang mata menyiapkan tempahan biskut raya itu kerana mahu mengumpul wang untuk menyambung pengajian di universiti.

Bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indra Petra, dekat sini itu berkata, dia belajar cara membuat biskut raya daripada gurunya di sekolah ketika di Tingkatan Satu dan kini tidak jemu-jemu menimba ilmu dengan menonton video-video di Youtube.

Katanya, selepas selesai menduduki SPM tahun ini, dia mempunyai banyak masa lapang dan memanfaatkannya dengan membuka tempahan biskut sejak awal Ramadan lalu di semua platform media sosial menggunakan nama Fara Farana.

“Sementara menunggu keputusan SPM, saya sibuk siapkan tempahan biskut dengan menggunakan peralatan memasak milik ibu. Dapatlah saya kumpul wang sebagai persediaan untuk masuk universiti.

“Ini dapat meringankan beban ibu yang cari rezeki jual kuih dan ayah yang bekerja sebagai buruh dengan pendapatan sebanyak RM400 sebulan sahaja,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di PPR Gua Musang, di sini hari ini.

Antara biskut yang mendapat banyak tempahan ialah biskut almond london, tart nenas, sarang semut dan semperit yang dijual dari harga RM13 sehingga RM16 satu balang.

Nurain Farhafarana dalam pada itu berkata, dia kini masih menjalani rawatan susulan setiap enam bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian selepas buah pinggang kanannya dibuang ketika berusia tiga tahun akibat kanser tahap tiga.

“Sekarang saya hanya mempunyai satu buah pinggang dan keadaan itu menyebabkan saya tidak boleh membuat kerja lasak kerana cepat penat.

“Saya bersyukur mempunyai ahli keluarga, kawan-kawan dan guru yang sentiasa membantu serta menyokong minat saya terutamanya dalam bidang bakeri ini,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian dalam bidang kulinari. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN