Johor benar bazar Ramadan, Aidilfitri terus beroperasi di tiga daerah PKP - Utusan Malaysia

Johor benar bazar Ramadan, Aidilfitri terus beroperasi di tiga daerah PKP

AYUB JAMIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Operasi bazar Ramadan dan Aidilfitri di daerah yang dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negeri ini tidak dihentikan sebaliknya dibenarkan terus beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Ayub Jamil berkata, waktu operasi bagi tapak niaga berkenaan bagaimanapun dihadkan.

Kata beliau, waktu operasi berbeza bagi daerah yang dikenakan PKP berbanding daerah yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Bagi daerah Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai yang dikenakan PKP, waktu operasi bazar Ramadan adalah dari pukul 3 petang hingga 8 malam manakala bazar Aidilfitri adalah bermula pukul 10 pagi hingga 10 malam.

“Sementara bagi daerah lain, operasi bazar Ramadan sama iaitu dari pukul 3 petang hingga 8 malam, namun operasi bazar Aidilfitri dibenarkan sehingga 12 tengah malam,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Semalam, kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKP di beberapa lokasi baharu termasuk di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Kulai bermula esok sehingga 20 Mei ekoran berlaku peningkatan kes positif Covid-19 baharu di kawasan terbabit.

Tambah Ayub, kebenaran beroperasi itu bagaimanapun tertakluk kepada pematuhan ketat terhadap prosedur operasi standard (SOP) norma baharu ditetapkan dalam tempoh pelaksanaan PKP.

“Sebarang perubahan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

Sebelum ini, Ayub dilaporkan berkata, kerajaan negeri berharap semua pihak terlibat iaitu penganjur, peniaga dan pengunjung agar sentiasa mematuhi SOP ditetapkan ketika mengunjungi bazar Ramadan dan Aidilfitri bagi mengawal penularan Covid-19 di kawasan berkenaan.

Johor membenarkan sejumlah 9,609 petak jualan di 193 lokasi tapak penganjuran Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di kesemua 16 PBT seluruh Johor beroperasi tahun ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN