Jemputan lumba haram: 20 remaja disaman - Utusan Malaysia

Jemputan lumba haram: 20 remaja disaman

SEKUMPULAN remaja bermotosikal yang diperiksa anggota polis dalam operasi khas di pekan Rembau, Negeri Sembilan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

REMBAU: Hasil maklumat orang awam dan media sosial, hajat sekumpulan remaja untuk berhimpun dan berlumba motosikal haram di Kampung Sawah Raja, di sini digagalkan pasukan polis.

20 orang daripada remaja itu disaman polis dalam pemeriksaan di pekan Rembau, di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Rembau, Pemangku Deputi Superintenden Hazri Mohamad berkata, kesemua remaja berusia lingkungan 15 tahun hingga 19 tahun itu disaman dalam satu pemeriksaan di sebuah stesen minyak.

Menurutnya, operasi tersebut dijalankan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Rembau dengan kerjasama Risikan Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan.

Katanya, operasi bermula pukul 4 petang hingga 7 petang di empat lokasi yang dikenal pasti.

“Kumpulan remaja ini bercadang berkumpul di stesen minyak sebelum bergerak ke lokasi lumba haram. Bagaimanapun, kami mengelak himpunan lumba haram ini daripada berlaku dan 20 remaja dikenakan saman atas pelbagai kesalahan trafik.

“Sebuah motosikal juga disita susulan kesalahan ubah suai ekzos,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Dalam jemputan menerusi Facebook itu yang bertajuk Petang Minggu Santai PKP, kumpulan remaja itu dijangka berkumpul seawal pukul 4.45 petang sebelum ke lokasi perlumbaan haram.

Jemputan tersebut diakhiri dengan pesanan ‘semua kroni dijemput hadir’.

Sementara itu, Hazri berkata, selain saman serta sitaan sebuah motosikal, dua remaja berusia 16 dan 17 tahun ditangkap.

“Kedua-dua mereka disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 kerana menunggang secara berbahaya di salah sebuah lokasi operasi di Kilometer Dua, Jalan Kundur Tengah-Pilin, kira-kira pukul 6.05 petang,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN