PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan peningkatan kes positif baharu Covid-19 tertinggi iaitu 6,075 kes berbanding semalam hanya 4,865 kes dengan 47 kematian.
Kes tertinggi sebelum ini ialah 5,728 pada 30 Januari lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah terbabit menyaksikan Selangor penyumbang terbesar kes positif iaitu 2,252 kes berbanding semalam 1,743 kes.
“Majoriti negeri pula merekodkan kes tiga angka iaitu Johor, 699 angka; Kuala Lumpur, 660 kes; Kedah, 445 kes; Kelantan, 441 kes; Sarawak, 323 kes; Perak, 220; Terengganu, 203 kes; Negeri Sembilan, 189 kes; Pulau Pinang, 183 kes; Sabah, 160 kes; Pahang, 150 kes dan Melaka, 122 kes.
“Labuan merekodkan 14 kes manakala Putrajaya, sembilan kes dan Perlis, enam kes,” kata beliau menerusi Twitter hari ini.
Semalam, Dr. Noor Hisham mendedahkan Malaysia terus merekodkan peningkatan semula kes positif baharu Covid-19 mencecah 5,000 iaitu 4,865 kes manakala kes sembuh menurun kepada 3,497 kes berbanding semalam, 3,990 kes.
“Sebanyak 47 kematian dan 19 kluster baharu direkodkan manakala kes aktif menunjukkan peningkatan iaitu 44,827 kes.
“Sebanyak 531 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 277 kes memerlukan bantuan pernafasan,” katanya.
Pada 16 Mei lalu, Noor Hisham juga menerusi Twitternya menulis: Bantulah kami untuk membantu anda. Sila duduk di rumah jika tidak ada urusan penting di luar. Jika terpaksa keluar rumah pastikan anda patuh kepada SOP.” – UTUSAN