Jangan cuba ubah pandangan umum terhadap rogol - Utusan Malaysia

Jangan cuba ubah pandangan umum terhadap rogol

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Tindakan seorang guru yang bergurau secara keterlaluan mengenai rogol boleh dianggap sebagai satu percubaan untuk mengubah pandangan umum yang membenci perbuatan tersebut kepada memandangnya sebagai perkara normal.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, oleh itu tindakan guru berkenaan perlu dipandang serius oleh semua pihak dan disiasat Kementerian Pendidikan.

“Jika didapati perkara ini benar, maka perlulah diambil langkah-langkah berkesan bagi memastikan ia tidak berulang demi memelihara nilai-nilai akhlak supaya tidak terhakis yang akhirnya merugikan masyarakat dan negara,” katanya di sini semalam.

Sebelum ini, seorang pelajar mendedahkan seorang guru bergurau keterlaluan apabila seolah-olah menggalakkan pelajarnya melakukan perbuatan rogol.

Dakwa pelajar itu, kejadian tersebut berlaku ketika mereka sedang mengikuti mata pelajaran pendidikan jasmani dan kesihatan dengan seorang guru lelaki.

Lebih mengejutkan, pelajar itu turut mendedahkan setelah dilaporkan kepada guru kaunseling di sekolah tersebut, tiada apa-apa tindakan diambil sebelum dia membuat laporan polis tentang perkara itu.

Mengulas lanjut, Wan Salim berkata, pandangan umum adalah kuasa yang berkesan bagi mencegah tindakan-tindakan jenayah daripada berlaku dalam masyarakat.

“Apabila pandangan umum berjaya dibentuk untuk membenci dan memandang jijik kepada tindakan atau perlakuan tertentu, maka secara automatiknya ia berperanan mencegah seseorang yang hendak melakukan kejahatan daripada meneruskan keinginannya.

“Di negara kita sejak dahulu, pandangan umum terbentuk supaya membenci perbuatan yang boleh mengancam keselamatan awam atau yang boleh menimbulkan ketakutan dan keresahan dalam kalangan masyarakat termasuk jenayah rogol,” katanya.

Tambah beliau, seorang perogol sentiasa dipandang sebagai penjenayah yang serius dan dianggap sebagai pengganggu ketenteraman dan mesti dikutuk sekeras-kerasnya.

“Pembentukan pandangan umum yang berkesan memang mempunyai banyak faedah dan keuntungan kepada negara.

“Ia bertindak sebagai polis dalaman dan dengan itu dapat mengurangkan keperluan kepada pasukan keselamatan dalam membanteras perbuatan-perbuatan jenayah termasuk jenayah rogol,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN