Semua pihak diingatkan jangan cuba naikkan harga - Alexander

Jangan cuba naikkan harga – Alexander

ALEXANDER NANTA LINGGI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Mana-mana pihak diingatkan tidak cuba mengambil kesempatan terutama menaikkan harga yang tidak munasabah berikutan penutupan Pasar Borong Selangor.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menegaskan, penutupan pasar itu kerana disenaraikan dalam sistem Hotspots Identification for Dynamic Engagement (HIDE) tidak boleh dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang-barang tertentu terutama menjelang Aidilfitri, Khamis ini.

Berikutan itu, beliau berkata, Bahagian Penguat kuasa kementerian mempertingkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi menilai situasi yang mungkin boleh menjejaskan bekalan barang-barang perlu.

Katanya, pihaknya terus bekerjasama dengan agensi-agensi kerajaan yang terlibat seperti Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan juga persatuan-persatuan peniaga yang terlibat dalam isu tersebut.

“Walaupun insiden ini bukan kali pertama berlaku, namun situasi ini perlu ditangani dengan baik supaya ia tidak dijadikan alasan untuk menaikkan harga barang-barang tertentu.

“Pemantauan melalui Op Pantau terus dipergiatkan bagi meminimakan kesan penutupan pasar borong tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Alexander berkata, pegawai-pegawai penguat kuasa terus melaksanakan tugasan demi memastikan isu bekalan dan harga dapat ditangani sebaiknya. 

Pada masa sama, kata beliau, kementerian konsisten menjalankan pemeriksaan dan pemantauan untuk memastikan semua pihak mematuhi perundangan di bawah bidang kuasa kementerian.

Beliau menjelaskan, kementerian tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan terutama menaikkan harga yang tidak munasabah.

“Pengguna boleh terus menjadi mata dan telinga kementerian serta menyalurkan maklumat berkaitan salah laku peniaga melalui saluran rasmi,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya