MELAKA: Polis memberi amaran keras kepada orang ramai yang masih berdegil memasuki kawasan Pantai Klebang semata-semata untuk mengambil gambar sempena Hari Raya Aidilfitri dan makan atau minum secara berkumpulan di situ.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, beberapa jalan masuk ke kawasan pantai ditutup semalam melalui kerjasama Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan meletakkan penghadang.
Katanya, bagaimanapun, laluan masuk ke lokasi itu tidak boleh ditutup sepenuhnya kerana terdapat beberapa khemah peniaga yang masih beroperasi bagi menyediakan keperluan orang ramai.
“Orang ramai sama sekali dilarang berkumpul semata-mata untuk merakamkan gambar atau melepak, sebaliknya aktiviti dibenarkan hanyalah senaman termasuk joging atau berbasikal bagi mereka yang tinggal di kejiranan sekitar Klebang sahaja.
“Kita tidak mahu berlaku ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) apabila mereka berkumpul. Perkara ini selaras dengan garis panduan ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN),” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, segelintir orang ramai dilihat tidak mengendahkan larangan beriadah atau bersantai di Pantai Klebang sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Ini kerana kereta terus berpusu-pusu memasuki kawasan pantai pada Hari Raya Aidilfitri kedua sejak pukul 4 petang.
Mengulas lanjut, Afzanizar berkata, polis telah meningkatkan kekerapan pemantauan dan meletakkan balai polis bergerak di lokasi terbabit.
“Kami nasihatkan orang ramai untuk kekal di rumah sepanjang PKP ini sekiranya tidak mempunyai urusan yang dikecualikan termasuk bekerja, membeli keperluan harian atau melibatkan hal kecemasan,” ujarnya.
Terdahulu, polis kontinjen Melaka telah mengerahkan seramai 600 pegawai dan anggota bagi pemeriksaan di sembilan Sekatan Jalan Raya (SJR) termasuk empat SJR secara bergerak serta pemantauan pematuhan SOP sepanjang PKP 3.0. – UTUSAN ONLINE