Jangan biar pembeli rumah berhutang sampai mati - Utusan Malaysia

Jangan biar pembeli rumah berhutang sampai mati

REKA bentuk dalaman rumah mampu milik yang ditawarkan BMF. - UTUSAN ONLINE/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Cadangan pinjaman perumahan dwigenerasi bukan penyelesaian terbaik sebaliknya mendedahkan rakyat kepada lebih banyak masalah bebanan hutang dalam jangka masa panjang, terutama dalam keadaan ketidaktentuan ekonomi kini.

Penasihat Hartanah Aliy Property Advisors Sdn. Bhd., Datuk Mohd. Ali Majis berkata, cadangan Better Malaysia Foundation (BMF) itu ‘lompong’ dan tidak dapat menyelesaikan masalah pemilikan hartanah B40 dan golongan secara menyeluruh.

Ujarnya, adalah lebih baik pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganalisis cadangan rumah di bawah harga RM300,000 untuk golongan B40 bagi membuktikan keberkesanannya dan bukan hanya membantu pemaju mengurangkan tekanan berikutan lambakan perumahan yang tidak terjual.

“Pinjaman perumahan dwigenerasi ini tidak selari dengan keadaan semasa. Ketika pandemik ini ramai hilang pekerjaan dan punca pendapatan. Tekanan ini akan lebih teruk sekiranya rakyat menanggung hutang dan ‘dikejar’ pihak memberi pinjaman.

“Jangan jadikan generasi kita penghutang sampai mati dan mewariskan hutang itu kepada anak-anak pula. Keadaan ini akan lebih membarah tanpa ilmu kewangan dan pengurusan yang betul,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Mohd. Ali menegaskan, kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam isu pemilikan hartanah ini dengan mewujudkan data berpusat untuk membantu rakyat terutama golongan B40 dan M40.

Jelasnya, tidak dinafikan pihak kerajaan telah mewujudkan banyak skim pemilikan hartanah untuk golongan B40 dan M40 seperti Projek Kediaman Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA), SPNB, Residensi Wilayah (Rumawip), Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) dan beberapa skim pinjaman dan deposit utk pembeli rumah pertama MYdeposit, Dana, SPR dan My Home.

“Namun, kelemahan dan ketiadaan pengurusan data pusat untuk membantu golongan ini menjadi punca pihak kerajaan tidak dapat selesaikan isu ini walaupun pelbagai bantuan dan skim telah ditawarkan selain masalah birokrasi yang menyusahkan.

“Kita perlu mewujudkan satu platform yang menempatkan semua skim dan data pembeli bagi mengurus masalah ini dengan lebih efisien seperti Singapura mewujudkan HDB Housing Development Board, iaitu pusat menguruskan semua rumah mampu milik dan skim pemilikan hartanah bantuan kerajaan di bawah satu badan,” ujarnya.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan cadangan daripada BMF supaya golongan B40 ditawarkan dengan pinjaman penuh yang dijamin kerajaan serta tempoh pinjaman dua generasi sehingga 60 tahun.

Pengasas pertubuhan tersebut, Tan Sri Vincent Tan berkata, ramai pembeli kali pertama dari golongan B40 tidak mampu mendapatkan 10 peratus bayaran pendahuluan, sekali gus menjadikan tawaran pinjaman penuh sebagai antara penyelesaian kepada dilema tersebut. – UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya