Jana RM15,000 sebulan jual air ketum - Utusan Malaysia

Jana RM15,000 sebulan jual air ketum

SEORANG lelaki yang menjadikan sebuah rumah teres dua tingkat di Teluk Kumbar, Pulau Pinang sebagai lokasi memproses air ketum ditahan Polis Marin bersama-sama 300 kg daun ketum dan 200 bungkus air ketum.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BAYAN LEPAS: Seorang lelaki berusia 34 tahun di Teluk Kumbar di sini memperoleh pendapatan mencecah RM15,000 sebulan hanya dengan menjual air ketum di sekitar negeri ini.

Bagaimanapun, keuntungan yang diperoleh hasil perniagaan haram itu tidak berpanjangan apabila dia ditahan Polis Marin di sebuah rumah teres dua tingkat di Sungai Batu, Teluk Kumbar malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, lelaki itu ditahan sepasukan anggota Unit Risikan Marin menerusi Ops Benteng Covid-19 yang menjalankan pemeriksaan di rumah milik suspek berkenaan.

Ujarnya, pemeriksaan di dalam rumah itu menjumpai bungkusan hitam yang mengandungi daun ketum seberat kira-kira 300 kilogram (kg), 200 bungkus air ketum dan beberapa peralatan memproses serta memasak daun ketum.

Selain itu jelas beliau, pihaknya juga menyita sebuah lori yang disyaki digunakan untuk menghantar bekalan air ketum yang diproses ke seluruh negeri ini.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek telah mula aktif dalam memproses dan membekalkan air ketum ke sekitar Pulau Pinang awal tahun ini.

“Suspek juga memperoleh bekalan daun ketum daripada Jeniang, Kedah dan menjual air ketum dengan harga RM5 sebungkus sehingga mampu memperoleh hasil jualan mencecah RM15,000 sebulan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ujar beliau, lelaki berkenaan ditahan reman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 30 Akta Racun 1952.

Jika disabit kesalahan ujarnya, boleh didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya sekali. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya